Termas de Rio Hondo Tidak Tersenarai Dalam Kalendar MotoGP 2026, Sasarkan Kembali pada 2027

Mohd Osman

Satu berita mengejutkan buat peminat MotoGP Amerika Selatan apabila GP Argentina yang biasanya berlangsung di Litar Termas de Rio Hondo tidak akan dianjurkan pada musim 2026. Perkara ini telah disahkan oleh pihak penganjur tempatan, OSD Group, selepas gagal mencapai persetujuan baharu dengan pemegang hak komersial MotoGP, Dorna Sports.

Menurut kenyataan rasmi OSD Group, keputusan ini diambil selepas beberapa siri rundingan bersama Dorna dan pihak kerajaan wilayah Santiago del Estero sepanjang beberapa bulan kebelakangan ini.

“Dengan rasa dukacita, kami ingin mengesahkan bahawa pada tahun 2026, MotoGP tidak akan berlangsung di Argentina,” kata kenyataan tersebut. “Setelah kejayaan perlumbaan 2025, kami telah meneliti semua pilihan yang ada, namun tidak dapat meneruskan penganjuran untuk musim berikutnya.”

Mereka turut merakamkan penghargaan kepada Dorna Sports atas kesediaan dan masa yang telah diberikan untuk mempertimbangkan pelbagai alternatif, serta kepada kerajaan Santiago del Estero yang saban tahun menunjukkan profesionalisme tinggi dalam menjayakan perlumbaan ini.

Pihak penganjur juga mengucapkan terima kasih kepada semua penaja yang setia menyokong acara ini sebagai satu platform untuk menghubungkan mereka dengan semangat sukan permotoran.

GP Argentina dijangka akan kembali pada musim 2027, dengan harapan perbincangan baharu dapat membuahkan hasil yang positif.

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp

Search

Archives