
Pengurus pasukan Ducati MotoGP, Davide Tardozzi menyuarakan harapan agar dua ikon besar dalam sukan ini, Valentino Rossi dan Marc Marquez boleh berdamai demi kebaikan dunia MotoGP. Menurut Tardozzi, permusuhan berlarutan antara kedua-dua legenda ini telah memberi kesan negatif kepada imej sukan itu sendiri.
Konflik bermula sejak insiden kontroversi di MalaysianGP 2015, apabila Rossi menuduh Marquez sengaja mengganggu perlumbaannya untuk membantu Jorge Lorenzo menjuarai kejuaraan dunia. Sejak dari itu, hubungan mereka tegang, dan tidak pernah pulih sepenuhnya. Kedua-dua pelumba seakan-akan membawa haluan masing-masing, tanpa sebarang jabat tangan mahupun usaha berdamai.
Keretakan ini bukan sahaja berlaku antara mereka, malah turut mencetuskan perpecahan besar dalam kalangan peminat MotoGP. Ada yang terlalu taksub menyokong satu pihak sehingga mencaci dan menghina pelumba lawan. Fenomena ini menyebabkan suasana dalam sukan jadi kurang sihat dan menjejaskan keindahan MotoGP sebagai satu sukan bertaraf dunia.
Tardozzi percaya bahawa jika dua figura utama ini mampu berbaik, ia akan memberi kesan positif kepada keseluruhan suasana MotoGP. Hubungan yang dijernihkan bukan sahaja memberi contoh matang kepada peminat, malah akan mengembalikan semula aura sukan ini sebagai pentas profesional yang dihormati.