
Johor Circuit bukan sekadar litar negeri, ia pernah menjadi pentas utama permotoran Asia Tenggara. Dari pertengahan 1990-an hingga pertengahan 2000-an, litar Pasir Gudang ini menjadi hos kepada kejohanan berprofil tinggi seperti Asia Road Racing Championship (ARRC), World Superbike, Endurance 8 Jam dan satu edisi MotoGP Malaysia 1998.
ARRC pertama kali singgah di Johor Circuit pada 1996 dan kembali beberapa kali sehingga 2017. Pemilihan litar ini menunjukkan Johor telah muncul sebagai hab perlumbaan utama, menggantikan litar jalanan dan arena terbuka.
Lebih menarik, World Superbike singgah di sini pada 1992 dan 1993, menampilkan legenda seperti Raymond Roche, Carl Fogarty dan Doug Polen. Kemenangan Roche dan dominasi Fogarty memastikan Johor Circuit menempatkan namanya bersama litar-litar elit dunia.
Sebelum pengalaman WSBK, pada 1991 dan 1992, litar ini juga menganjurkan perlumbaan FIM Endurance 8-Hour, ujian mencabar stamina dan ketahanan, membuktikan keupayaan teknikal dan operasi litar tersebut.
Kemuncak ketibaan MotoGP datang pada 1998, apabila litar ini dipilih menjadi venue Malaysian Motorcycle Grand Prix menggantikan Shah Alam. Keputusan ini dibuat selepas krisis kewangan Asia 1997, sebagai langkah menjimatkan kos tetapi mengekalkan penganjuran perlumbaan berprestij. Walaupun fasiliti Johor Circuit lebih sederhana, ia tetap mencatat sejarah sebagai tuan rumah MotoGP pertama di luar Shah Alam dan sebelum Sepang dibuka.
Pengubahsuaian besar dilakukan pada 1998, termasuk penyelarasan selekoh, pembesaran trek, dan pemasangan sistem keselamatan tambahan. Namun, perlumbaan MotoGP di Johor hanya bertahan satu musim, sebelum beralih ke Sepang pada tahun berikutnya.
Selepas 1998, Johor Circuit terus menyokong acara kejuaraan Asia dan domestik. Tetapi sekitar 2015–2017, infrastruktur yang semakin uzur, isu keselamatan serta keperluan standard baharu menyebabkan ia ditutup untuk pembangunan semula yang masih belum direalisasikan sepenuhnya hingga kini.
Teruskan bersama Two Wheels..!