Rimba Raid 2025 Disiasat MAM : Antara Keghairahan Dan Sisi Gelap Penganjuran

Toshi

Rimba Raid sering menjadi kebanggaan arena off-road Malaysia, satu acara yang bukan sahaja menguji kekuatan fizikal dan mental penunggang, tetapi juga memaparkan keindahan alam semula jadi tanah air. Tahun demi tahun, penyertaan meningkat, dengan penunggang dari pelbagai negara sanggup menempuh ribuan kilometer demi menyahut cabaran ini. Namun, untuk edisi 2025, di sebalik kemegahan dan sambutan luar biasa, tersingkap sisi gelap penganjuran yang menimbulkan persoalan besar tentang keselamatan dan profesionalisme acara.

Walaupun Rimba Raid 2025 mendapat pengiktirafan ‘race sanction’ daripada badan rasmi (MAM), terdapat banyak kebimbangan berkenaan pelaksanaannya. Acara ini turut disekalikan dengan kategori “fun race”, yang membabitkan penunggang tanpa lesen perlumbaan sah dan tidak melalui pemeriksaan kesihatan, satu kelonggaran yang membuka pintu kepada risiko serius terhadap keselamatan diri dan peserta lain.

Lebih parah, terdapat laluan perlumbaan yang dikatakan belum mendapat kebenaran rasmi daripada pemilik tanah, mengakibatkan beberapa penunggang terkandas di pedalaman. Ada peserta yang hanya berjaya diselamatkan keesokan harinya kerana pasukan marshal tidak menyedari kehilangan mereka, dipercayai akibat operasi kawalan dihentikan lebih awal daripada yang dijadualkan. Terdapat juga laporan penunggang yang hampir terjatuh ke dalam gaung akibat laluan yang tidak ditanda dengan jelas, dengan jurang hanya beberapa meter dari trek berlumpur yang licin.

Selain itu, kekurangan petunjuk yang jelas di laluan menyumbang kepada insiden peserta tersesat dan bertembung dari arah bertentangan. Ramai mendakwa sistem panduan laluan lemah, dengan marshal tidak ditempatkan di simpang kritikal. Penunggang juga melaporkan kekeliruan apabila peserta dari kategori prolog, fun race dan kelas profesional dilepaskan di laluan yang sama, mewujudkan risiko pelanggaran serta memburukkan lagi keadaan laluan yang sememangnya sempit dan teknikal.

Sistem kawalan keselamatan juga dilihat longgar, beberapa kawasan bahaya tidak ditanda dengan sempurna, pita amaran terlalu hampir dengan laluan dan tiada pengasingan jelas antara penonton dan pelumba. Lebih membimbangkan, marshal yang bertugas rata-ratanya adalah penduduk kampung sekitar yang kurang pengalaman dalam pengendalian acara perlumbaan atau pemahaman asas mengenai peraturan dan prosedur kecemasan.

Sebagai menambah luka, ramai peserta kecewa apabila medal ‘finisher’ tidak mencukupi, termasuk bagi mereka yang bersusah payah menamatkan cabaran puluhan kilometer dalam keadaan ekstrem. Bagi acara berskala antarabangsa, kegagalan logistik seperti ini jelas mencalarkan imej keseluruhan perlumbaan.

Rimba Raid bukan sekadar perlumbaan, ia adalah lambang semangat pengembaraan dan keberanian. Namun, keghairahan dan populariti tidak wajar dijadikan alasan untuk mengetepikan aspek profesionalisme, keselamatan dan integriti penganjuran. Sekiranya pihak penganjur gagal memperbaiki kelemahan yang ada, bukan sahaja nyawa peserta dipertaruhkan, malah reputasi yang dibina bertahun-tahun bakal lenyap dalam sekelip mata.

Dalam dunia sukan bermotor, kepercayaan peserta dan komuniti adalah aset terbesar. Rimba Raid masih punya peluang untuk bangkit dan menjadi penanda aras penganjuran acara off-road di Asia Tenggara, tetapi hanya jika mereka bersedia menerima kritikan, berubah dan memperkukuh asas yang lebih kukuh demi masa depan perlumbaan ini.

Teruskan bersama TW Media..!

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp

Search

Archives