Quartararo Kembali ke Sachsenring, Yamaha Letak Harapan Pada Projek V4

Toshi

Fabio Quartararo kembali ke Sachsenring dengan kenangan manis, dimana di sinilah kali terakhir beliau meraih kemenangan dalam kelas perdana MotoGP, iaitu pada musim 2022. Kemenangan itu menandakan kemuncaknya bersama Yamaha, ketika beliau mendahului kejuaraan dengan jurang 91 mata di hadapan Francesco Bagnaia. Namun sejak itu, Yamaha bergelut dengan penurunan prestasi yang berterusan hingga ke musim ini.

Untuk keluar daripada krisis ini, Yamaha kini meletakkan harapan kepada pembangunan enjin baharu, konfigurasi V4 1,000cc yang telah diuji oleh pasukan ujian mereka di Brno, Republik Czech. Menurut Alex Rins, yang kini mewakili pasukan Monster Energy Yamaha, enjin baharu itu masih belum cukup kompetitif. Rins menyatakan bahawa waktu catatannya menggunakan Yamaha M1 dengan enjin 4 silinder selari adalah 1:52.7, manakala pelumba ujian Augusto Fernandez mencatat sekitar 1:54.7 dengan prototaip V4.

Walaupun masih ketinggalan sekitar dua saat, pembangunan ini dianggap sebagai langkah penting untuk masa depan Yamaha. Fabio Quartararo pula dijadualkan menguji jentera V4 tersebut pada bulan September, kemungkinan besar dalam sesi ujian di Misano. Buat masa ini, beliau belum mahu memberikan komen lanjut sebelum merasai sendiri keupayaan sebenar motosikal itu. Baginya, sebarang penilaian hanya akan sah selepas merasai pengalaman sebenar di litar.

Adakah V4 ini mampu menjadi penyelamat Yamaha? Hanya masa akan menentukan.

Teruskan bersama Two Wheels..!

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp

Search

Archives