Qabil Irfan & Hakim Danish : Gegar Litar Antarabangsa, Curi Tumpuan Dunia

Toshi

Musim 2025 menjadi saksi kebangkitan dua pelumba remaja negara yang semakin menyerlah di pentas antarabangsa, mereka adalah Qabil Irfan Azlan dan Hakim Danish. Mewakili generasi baharu pelumba Malaysia, mereka bukan sahaja membawa nama negara, malah menjadi inspirasi buat bakat-bakat muda di tanah air.

Qabil Irfan, baru berusia 13 tahun, terus mencipta sensasi dalam kejohanan FIM JuniorGP ESBK Moto4 di Sepanyol. Setakat pusingan ketiga di Motorland Aragon, Qabil sudah mengutip tiga kemenangan dan tiga podium tempat kedua, sekaligus mengekalkan kedudukan sebagai pendahulu keseluruhan dengan 135 mata, 43 mata di hadapan pencabar terdekat. Aksinya yang matang, kawalan jentera yang konsisten dan semangat juang tinggi menjadikan Qabil sebagai prospek serius untuk pentas Moto3 dalam beberapa tahun akan datang.

Sementara itu, seorang lagi wira negara, Hakim Danish, turut menyerlah dalam saingan Red Bull MotoGP Rookies Cup, pentas elit pembangunan pelumba MotoGP. Dalam musim ketiganya di kejohanan berprestij itu, Danish berjaya menamatkan perlumbaan Race 2 di tempat kedua baru-baru ini, membuktikan kematangan dan kemampuannya bersaing dengan pelumba-pelumba terbaik remaja dari seluruh dunia. Tahun ini juga menyaksikan beliau menetap sepenuhnya di Eropah, memberi tumpuan penuh terhadap perlumbaan dan pembinaan kariernya.

Menurut mentor mereka, Zulfahmi Khairuddin, kedua-dua pelumba ini memiliki potensi luar biasa jika diberi sokongan berterusan dari pihak penaja dan kerajaan. Mereka bukan sahaja berlumba, mereka sedang membuka lembaran baharu untuk masa depan sukan permotoran negara.

Malaysia, teruskan memberi sokongan. Inilah harapan kita untuk mengulangi sejarah di pentas dunia.

Teruskan bersama Two Wheels..!

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp

Search

Archives