
Selepas pelbagai spekulasi, Proton R3 (Race.Rally.Research), pasukan lumba rasmi Proton, kini secara rasmi ditutup sepenuhnya pada 11 Julai 2025. Perkara ini disahkan oleh Suriya Sankaran – bekas ahli pasukan dan pengasas bersama Dream Street Restoration (DSR) – yang memaklumkan beberapa kakitangan terakhir R3 telah menamatkan tugas mereka di Shah Alam dan akan dipindahkan ke fasiliti Proton di Tanjung Malim.
Penutupan ini berlaku seiring dengan pemindahan operasi penuh Proton ke Tanjung Malim, susulan berakhirnya produksi model Saga MC2 di Shah Alam. Model baharu yang dibangunkan menggunakan platform AMA akan terus dipasang di fasiliti baharu.
Ditubuhkan pada tahun 2003 sebagai kesinambungan pasukan PERT (Petronas EON Racing Team), R3 membawa nama Proton ke peringkat antarabangsa melalui penyertaan dalam Intercontinental Rally Challenge, SWRC dan Kejohanan Asia Pacific Rally Championship (APRC) – memuncak dengan kejuaraan keseluruhan oleh Alister McRae pada musim 2011.

Di perlumbaan litar pula, R3 mencipta sejarah dengan kemenangan dalam Merdeka Millennium Endurance (MME), Touring Car Championship dan Sepang 1000KM (S1K) – menggunakan jentera seperti Satria Neo, Prevé, Suprima S dan Iriz. Kali terakhir R3 berlumba adalah di S1K 2024, dengan dua buah Proton S70 MTC, yang kini dilihat sebagai perlumbaan penutup tirai bagi R3.

Sebelum ini, divisi R3 turut menghasilkan aksesori dan model edisi khas seperti Satria Neo R3 Lotus Racing. Namun, bahagian ini telah ditutup pada tahun 2017. Walaupun Geely pernah merancang kebangkitan semula R3 di bawah Proton Global Services, hala tuju sebenar masih tidak menentu.
Buat peminat permotoran tempatan, penutupan ini sememangnya satu kehilangan besar. Proton R3 bukan sekadar pasukan lumba – ia satu legasi.