
Kejohanan Malaysia Touring Car Championship (MTCC), yang baru sahaja menjalani penjenamaan semula, kembali beraksi hujung minggu ini dengan Pusingan 2 yang akan berlangsung dari 25 hingga 27 Julai 2025 di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang (SIC). Selepas pembukaan musim yang berjaya pada bulan Mei lalu, MTCC kini meneruskan momentumnya sebagai antara pentas utama sukan permotoran tempatan.
Pusingan kali ini menyaksikan peningkatan ketara dalam bilangan penyertaan, dengan 60 jentera berlumba merentasi semua kategori, berbanding 51 jentera pada Pusingan 1. Antara tumpuan utama ialah kemunculan semula juara bertahan, Hayden Haikal, yang kembali dalam kategori Malaysia Touring Car (MTC) setelah tidak menyertai pusingan pembukaan. Daripada lapan jentera yang didaftarkan dalam MTC, lima akan mengambil tempat di grid hujung minggu ini.
Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif, menyatakan,
“Kami sangat teruja melihat pertambahan penyertaan menjelang Pusingan 2. Kemunculan semula kategori MTC dan kehadiran pelumba berprofil tinggi seperti Hayden Haikal menunjukkan perkembangan positif MTCC. Dengan pelaksanaan ‘championship ballast’ ke atas tiga jentera teratas bagi setiap kategori seperti M-Touring 2 (MT2), Touring Production (TP) dan T-Production 2 (TP2), strategi perlumbaan pasti menjadi lebih mencabar. MTCC kini semakin menjadi tunjang utama dalam landskap sukan permotoran Malaysia, dan kami komited untuk membina platform yang mampan, kompetitif dan mesra peminat demi pertumbuhan industri jangka panjang.”
Sebagai pelengkap hujung minggu perlumbaan, pusingan kedua GR86 Malaysia Cup turut berlangsung, menampilkan 18 jentera dalam kejohanan lima pusingan yang dimulakan ketika Super GT Malaysia.
TCR Asia Series juga akan berlangsung untuk Pusingan 5 & 6, melibatkan lima jentera dalam pertarungan separuh musim bagi kejohanan serantau yang terdiri daripada 12 pusingan keseluruhan.
Buat pertama kali, E-Sport Time Attack x Rakan Muda akan turut menjadi sebahagian daripada program MTCC. Aktiviti ini bukan sahaja mendekatkan peminat dengan dunia perlumbaan, malah menawarkan pelbagai hadiah menarik termasuk baucar tayar Hankook bernilai RM1,760.
Bagi peminat yang mahukan pengalaman eksklusif, Paddock Hospitality Pass boleh didapati pada harga RM318 untuk akses dua hari penuh. Manakala Paddock Pass biasa ditawarkan pada harga RM100 untuk akses selama tiga hari.
Sebagai makluman, Festival Aku, Muzik & Kamu Indie 2025 yang pada asalnya dijadualkan serentak dengan Pusingan 2 ini, telah ditunda ke 29–30 November 2025.
Teruskan Bersama Four Wheels..!!