
Jorge Martin kembali ke litar selepas tempoh berehat panjang akibat kecederaan, dan perlumbaan di CzechGP minggu lalu menjadi medan pertama untuknya menilai semula kemampuan diri bersama Aprilia Racing. Walaupun tidak mampu menyaingi podium dan pelumba hadapan seperti Marco Bezzecchi, Martin tetap menunjukkan prestasi yang stabil dan meyakinkan.
Sebagai juara dunia MotoGP 2024, Martin menyedari perjalanan kembali ke tahap terbaik bukan sesuatu yang mudah. Oleh itu beliau kini menetapkan sasaran yang lebih realistik iaitu menewaskan rakan sepasukan dan pelumba Aprilia lain terlebih dahulu sebelum mula mencabar pelumba pasukan gergasi seperti Ducati.
“Saya perlu bina semula rentak dan keyakinan. Saya belum berada di tahap terbaik, jadi saya fokus kepada satu langkah demi satu langkah,” jelas Martin selepas perlumbaan.
Strategi Martin ini dilihat bijak kerana tekanan untuk terus mengekalkan gelaran tanpa kesiap siagaan penuh boleh menjadi beban. Pihak Aprilia Racing juga memberi sokongan penuh terhadap proses pemulihan ini dengan harapan Martin akan kembali kompetitif sepenuhnya menjelang pusingan-pusingan seterusnya.
Walaupun belum mencuri tumpuan seperti musim lalu namun kepulangan Martin ke grid merupakan petanda positif buat Aprilia dan peminat MotoGP yang merindui aksi agresif serta penuh taktikal daripadanya.