
Paul Ricard, Perancis – 6 Julai 2025:
Pasukan lumba dari Malaysia, Viper Niza Racing, mencatat satu pencapaian hebat apabila berjaya bangkit daripada insiden kemalangan dalam sesi kelayakan untuk meraih tempat ketiga di kelas GT3-AM dalam perlumbaan berprestij 12 Hours of Paul Ricard. Pencapaian ini turut menyaksikan mereka dianugerahkan Spirit of the Race Award oleh penganjur sebagai pengiktirafan terhadap semangat juang luar biasa pasukan.
Segalanya bermula dengan penuh cabaran apabila pemandu Dominic Ang terbabas ke penghadang konkrit hanya beberapa minit selepas sesi kelayakan kedua bermula. Jentera Mercedes-AMG GT3 EVO milik mereka mengalami kerosakan teruk pada casis, sekaligus hampir memadamkan harapan untuk menyertai perlumbaan keesokan harinya.
Namun dalam tempoh kurang 24 jam, pasukan berjaya mendapatkan jentera sewa – juga sebuah Mercedes-AMG GT3 EVO – yang kebetulan berada di litar selepas digunakan dalam sesi ujian oleh pasukan Red Ant Racing. Tanpa sebarang masa latihan bersama jentera baharu itu, Viper Niza Racing memulakan perlumbaan dari kedudukan terakhir dan menamatkan perlumbaan di tempat ke-8 keseluruhan serta ke-3 dalam kelas GT3-AM.
“Cengkaman semasa sesi panas agak kurang, dan biasanya jika kereta hilang kawalan di selekoh tersebut, ia masih boleh dibawa ke kawasan pelepasan. Kami masih menyiasat punca sebenar, mungkin ada komponen yang longgar,” kata Douglas Khoo, Ketua Pasukan dan juga pemandu utama.
Red Ant Racing – pasukan yang menyewakan kereta kepada Viper Niza – turut mencatat keputusan cemerlang apabila menamatkan perlumbaan di tempat kedua keseluruhan, hanya 3.4 saat di belakang juara, Proton Huber Competition dengan Porsche 911 GT3R (992).
“Kami benar-benar bersyukur dapat menamatkan perlumbaan dengan keputusan sebegini. Meskipun tiada masa untuk menyesuaikan diri dengan jentera, pendekatan berhati-hati di awal perlumbaan dan konsistensi sepanjang 12 jam perlumbaan menjadi kunci kejayaan,” tambah Khoo.
Dengan bantuan pemandu ketiga Melvin Moh, kejayaan ini merupakan pencapaian terbaik pasukan di litar sepanjang 5.842km itu. Kali terakhir mereka berlumba di Paul Ricard ialah pada tahun 2018 dalam kelas LMP3, di mana mereka menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-13 dalam perlumbaan ketahanan 4 jam.
Sebelum perlumbaan ini, Viper Niza Racing berada di kedudukan ke-4 keseluruhan dalam kedudukan mata kelas GT3-AM. Keputusan podium ini mengukuhkan kedudukan mereka dalam siri Creventic 12H Series dengan hanya satu lagi pusingan terakhir menanti di Barcelona pada bulan September.
Pasukan ini disokong oleh Motul, Endless & Momentum Autoparts, IWC sebagai jenama jam rasmi, serta Hotel Jen Orchard Gateway Singapura.







