
Juara Dunia MotoGP 2024, Jorge Martin, sekali lagi terpaksa menangguhkan kemunculannya semula ke litar. Aprilia mengesahkan bahawa pelumbanya itu tidak akan menyertai Grand Prix Jerman di Sachsenring pada 11 hingga 13 Julai ini. Martin, yang hanya sempat beraksi di Qatar musim ini, masih dalam proses pemulihan akibat kecederaan serius pada tulang skafoid dan rusuk yang dialaminya awal tahun ini.
Menurut pakar tulang terkenal, Dr. Xavier Mir, pergerakan tangan Martin semakin pulih namun penyembuhan tulang belum lengkap. Ketua perubatan MotoGP, Dr. Angel Charte pula menyatakan bahawa walaupun kecederaan rusuk semakin baik, masih ada beberapa yang belum sembuh sepenuhnya. Martin disarankan berehat sekurang-kurangnya dua minggu lagi, dan penilaian semula akan dilakukan awal Julai.
Ketidakhadiran berterusan Martin bukan sahaja menggugat musim perlumbaannya, malah menjejaskan kedudukannya dalam isu kontrak dengan Aprilia. Rundingan untuk keluar dari pasukan pada 2026 menerusi klausa pelepasan kini menjadi pertikaian. Keadaan ini diburukkan lagi oleh kenyataan pengurusnya, Albert Valera, yang menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan penyokong.
Lebih merumitkan, Marco Bezzecchi yang menggantikan tempatnya berjaya menaiki podium di Assen, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap Martin. Tambahan pula, Honda dikatakan berminat mendapatkan khidmatnya bagi musim 2026 tetapi masih menunggu kejelasan undang-undang.
Dengan Marc Marquez dijangka menguasai Sachsenring seperti biasa, Jorge Martin kini perlu fokus terhadap pemulihan dan menjaga imejnya yang semakin tercalar. Peluang seterusnya mungkin muncul di Brno atau Misano dan ia boleh jadi penentu masa depannya dalam MotoGP.
Teruskan bersama Two Wheels..!