
Boon Siew Honda Sdn. Bhd. dengan bangganya memperkenalkan Honda ADV350 2025 yang kini tampil lebih segar dan berteknologi tinggi. Dengan gabungan gaya urban dan semangat off-road, skuter ADV ini terus menjadi pilihan bagi mereka yang mahukan tunggangan harian yang praktikal, serta mampu menghadapi cabaran hujung minggu.
Ciri Baharu & Naik Taraf Menarik:
- Paparan TFT 5 inci penuh warna yang baharu dan jelas di bawah cahaya matahari, kini dilengkapi sistem Honda RoadSync. Fungsi ini membolehkan penunggang mengawal panggilan, muzik dan navigasi melalui Bluetooth, serta kawalan mudah menggunakan suis 4-arah berlampu di hendal.
- Ruang simpanan bawah tempat duduk seluas 48 liter kini dilengkapi dengan lampu terbina dalam dan mampu memuatkan dua helmet muka penuh. Ruang ini juga mempunyai pelat pemisah untuk susun atur yang lebih teratur.
- Isyarat membelok automatik (auto-cancelling indicators) ditambah, yang akan mematikan sendiri selepas belokan selesai – mengurangkan gangguan dan meningkatkan kemudahan.
- Penyerap hentak belakang dengan takungan jauh (remote reservoir) kini boleh dilaras untuk pra-muatan, membolehkan penunggang melaras keselesaan tunggangan mengikut beban atau jenis permukaan jalan.
- Skrin penghadang angin boleh laras 4 tahap dengan julat pergerakan 133mm memastikan keselesaan optimum sama ada di lebuh raya atau dalam trafik bandar.
- Port USB-C dalam kotak sarung tangan untuk mengecas peranti mudah alih.
- Ketinggian tempat duduk 795mm mesra pelbagai saiz penunggang dan sistem Honda Smart Key terus ditawarkan untuk akses dan penghidupan enjin tanpa kunci.
- Sistem Emergency Stop Signal (ESS) kekal sebagai ciri keselamatan, dengan lampu isyarat berkelip ketika membrek mengejut untuk memberi amaran kepada kenderaan belakang.
- Tayar jenis blok tanpa tiub dan rim aloi 6 jejari berbentuk-X memberikan cengkaman mantap atas pelbagai permukaan, dibantu brek cakera hadapan dan belakang bersama ABS dua saluran untuk kawalan brek lebih baik.
- Suspensi depan USD 37mm dengan 125mm pergerakan kekal dipercayai, menyokong casis ringan dan tangkas untuk perjalanan yang selesa sama ada di jalan raya atau laluan ringan luar bandar.
- Sistem Honda Selectable Torque Control (HSTC) dua tahap membantu mengawal cengkaman roda belakang untuk tunggangan yang lebih stabil.
Enjin & Prestasi
ADV350 2025 dikuasakan enjin satu silinder 330cc eSP+ SOHC berkuasa 21.5kW pada 7,500rpm dan tork 31.8Nm pada 5,250rpm. Dengan teknologi geseran rendah, enjin ini memberikan penjimatan bahan api cemerlang sekitar 28.6km/l, tanpa mengorbankan prestasi.
Ketibaan di Pasaran
Honda ADV350 2025 dijangka tiba di pengedar Honda BigWing sekitar separuh kedua Ogos 2025. Ia adalah pilihan sempurna buat penunggang yang mahukan skuter berjiwa lasak dengan ciri moden untuk kehidupan bandar dan pengembaraan hujung minggu.


