
Marco Bezzecchi, pelumba pasukan Aprilia Racing, mengakui beliau tiada pilihan selain pasrah dengan kedudukan kedua di perlumbaan DutchGP yang berlangsung di Litar Assen. Menurut Bezzecchi, kelajuan Marc Marquez terlalu sukar ditandingi sepanjang perlumbaan.
“Pace Marc memang luar biasa. Saya cuba kejar, tapi dia kekal konsisten dan saya sedar agak mustahil untuk kekal rapat. Daripada ambil risiko dan mungkin terjatuh, lebih baik saya kekalkan P2.” ujar Bezzecchi selepas perlumbaan.
Kejayaan di Assen ini merupakan podium pertama Bezzecchi bersama Aprilia dan juga keputusan terbaiknya setakat ini sejak menyertai pasukan kilang Aprilia itu. Ia menjadi bukti bahawa Bezzecchi kini semakin serasi dengan jentera RS-GP.
Walaupun belum cukup untuk menyaingi jentera Ducati GP25 yang ditunggang Marquez, Bezzecchi tetap optimis dengan hala tuju prestasinya. Jika trend peningkatan ini berterusan, Bezzecchi dijangka mampu muncul antara pesaing utama dalam baki musim 2025. Sekurang-kurangnya, buat masa ini, kedudukan kedua di Assen membawa makna besar untuk keyakinan dirinya.