AUTOBACS SUPER GT Malaysia 2025 Gegar Sepang: Hampir 76,000 Peminat Serbu Litar

MC

Litar Antarabangsa Sepang kembali bergema dengan deruman enjin jentera GT apabila pusingan Malaysia bagi siri AUTOBACS SUPER GT 2025 mencatatkan kejayaan besar dengan kehadiran 75,977 penonton sepanjang dua hari perlumbaan, iaitu hampir dua kali ganda lebih tinggi berbanding jangkaan asal oleh pihak penganjur, HARO Sports & Entertainment.

Perlumbaan yang berlangsung pada 27 dan 28 Jun 2025 ini bukan sekadar menyaksikan aksi mendebarkan daripada jentera GT500 dan GT300, tetapi turut diraikan sebagai satu festival permotoran dan budaya Jepun yang meriah. Ia menandakan kemunculan semula siri perlumbaan GT utama Jepun ke Malaysia selepas 12 tahun, dan jelas membuktikan betapa tingginya minat rakyat Malaysia serta peminat antarabangsa terhadap sukan permotoran ini.

“Kami amat menghargai sokongan padu daripada peminat tempatan dan antarabangsa. Kami sedang merancang pelbagai penambahbaikan untuk penganjuran tahun hadapan,” kata Fahrizal Hasan, Rakan Pengurusan HARO Sports & Entertainment.

SUPER GT Malaysia 2025 bukan sekadar perlumbaan. Ia hadir sebagai satu pengalaman menyeluruh buat seisi keluarga dengan penganjuran karnival budaya dan makanan Jepun, pameran automotif, autoshow, serta konsert GT Live! selepas perlumbaan. Acara ini turut menampilkan pusingan kedua Toyota GAZOO Racing Vios Challenge dan perlumbaan sulung GR86 Cup Malaysia.


Antara kemuncak festival ialah penyampaian hadiah istimewa berupa Toyota GR Supra manual 3.0 bernilai RM650,000 kepada pemenang bertuah, Cik Au Tzi Hua, menerusi cabutan bertuah yang dianjurkan bersama Mastercard sebagai rakan rasmi pembayaran dan pengalaman. Peluang ini terbuka kepada pembeli tiket terpilih yang menggunakan Mastercard sepanjang tempoh promosi.

Dalam kejutan yang lebih besar, HARO Sports & Entertainment turut mengumumkan bahawa Malaysia akan mempunyai penyertaan wildcard dalam kategori GT500 pada tahun 2026 – satu langkah bersejarah memandangkan GT500 adalah kategori utama dan paling berprestij dalam siri SUPER GT.

“GT500 adalah kemuncak perlumbaan SUPER GT dan satu penghormatan besar buat Malaysia untuk diberi kepercayaan membawa penyertaan wildcard. Perbincangan masih dijalankan untuk mengenal pasti pengeluar dan pelumba,” ujar Fahrizal lagi.

Edisi kali ini juga menyaksikan dua pelumba Malaysia – Jazeman Jaafar dan Adrian D’Silva – bertanding sebagai wildcard dalam kategori GT300 bersama pasukan EBM-GIGA Racing Team, sekali gus memberi inspirasi kepada lebih ramai pelumba tempatan.

SUPER GT Malaysia Festival 2025 diadakan sebagai sebahagian daripada sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Tahun Melawat Selangor 2025, dengan sokongan daripada Tourism Malaysia dan Tourism Selangor.

Untuk maklumat lanjut, layari laman rasmi: www.supergtmalaysia.com.

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Search

Archives