
Litar Motorland Aragon mungkin bakal menyaksikan satu detik bersejarah buat pasukan Yamaha dalam kejuaraan MotoGP. Buat pertama kalinya sejak penyertaan mereka dalam era moden MotoGP, Yamaha dijangka akan menguji jentera YZR-M1 dengan konfigurasi enjin V4, menggantikan konfigurasi ‘inline-four’ yang menjadi identiti Yamaha sejak sekian lama.
Perubahan drastik ini dikatakan hasil tekanan berterusan untuk meningkatkan prestasi dan daya saing, khususnya berbanding pasukan-pasukan yang telah lama menggunakan enjin V4 seperti Ducati, KTM dan Aprilia. Enjin V4 memberi kelebihan dalam aspek kuasa puncak dan kelajuan maksimum, dua aspek yang sering menjadi kekurangan utama Yamaha dalam beberapa musim kebelakangan ini.
Fabio Quartararo dijangka akan menjadi pelumba pertama menguji prototaip Yamaha V4 ini dalam sesi ujian rasmi pasca perlumbaan pada hari Isnin. Dalam masa yang sama, pelumba uji Yamaha, Augusto Fernandez, berkemungkinan akan turun sebagai pelumba ‘wild card’ dalam perlumbaan hujung minggu tersebut untuk memberikan maklum balas daripada kondisi perlumbaan sebenar.
Langkah berani ini menunjukkan komitmen tinggi Yamaha untuk kembali ke barisan hadapan MotoGP. Jika ujian ini membuahkan hasil, ia bakal membuka lembaran baharu dalam sejarah Yamaha serta menjanjikan saingan yang lebih sengit untuk musim-musim akan datang.
Teruskan bersama Two Wheels..!