Siri Nostalgia Batu 3 Speedway : Episod 2

Toshi

Sebelum Litar Antarabangsa Sepang menjadi kebanggaan sukan permotoran negara, ada satu litar yang pernah digelar antara terbaik di Asia. Litar Batu 3 Speedway terletak di Shah Alam, Selangor dan merupakan nadi perlumbaan Malaysia sejak tahun 1968. Dibina ketika era kegemilangan permotoran sedang berkembang, Batu 3 bukan sekadar litar lumba, ia adalah medan pertempuran, pentas impian dan lambang kebangkitan semangat permotoran Malaysia.

Direka oleh jurutera ternama dunia, John Hugenholtz, beliau juga merupakan individu sama yang mereka bentuk Litar Suzuka di Jepun. Dengan panjang asal 3.380 km sebelum dinaik taraf menjadi 3.693 km, litar yang agak teknikal dan mencabar ini mempunyai 15 selekoh yang menguji kemahiran sebenar pelumba. Suasana tropika, sudut sempit dan laluan berbukit menjadikan setiap pusingan satu ujian fizikal dan mental.

Antara tahun 1991 hingga 1997, Batu 3 menjadi tuan rumah Grand Prix Malaysia dalam kejuaraan dunia 125cc dan 250cc. Di sinilah pelumba seperti Loris Capirossi, Max Biaggi bahkan Valentino Rossi berlumba dalam fasa awal karier mereka. Litar ini juga menyaksikan kehebatan pelumba tempatan seperti Shahrol Yuzy, Wazi Abdul Hamid dan ramai lagi yang menjadi wira permotoran negara (lagenda-lagenda 70an akan kami kongsikan dalam episod 4)

Namun di sebalik kegemilangan itu, Batu 3 juga menyimpan kisah hitam. Pada tahun 1977, satu tragedi mengorbankan enam kanak-kanak akibat kemalangan ketika perlumbaan. Kejadian itu mencetuskan kebimbangan terhadap tahap keselamatan litar, dimana ia antara satu isu yang berterusan hingga ke penghujung hayat Batu 3.

Menjelang akhir 1990-an, dengan tekanan pembangunan dan perubahan struktur bandar, Litar Batu 3 ditutup. Tapaknya kini menjadi kawasan komersial dan kediaman. Biarpun tiada lagi sorakan penonton atau deruman enjin dua-lejang, nama Batu 3 kekal terpahat dalam sejarah.

Kerana di sinilah bermulanya detik-detik awal yang membina asas untuk Litar Antarabangsa Sepang, Cub Prix, MSBK, MSF dan lahirnya generasi baharu pelumba Malaysia.

Teruskan bersama Two Wheels..!

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp

Search

Archives