
Di satu sudut Alam Damai, Cheras, wujud sebuah bengkel kecil tetapi penuh dengan jiwa seni iaitu Salleh Paint Works. Bermula pada tahun 2023, bengkel ini lahir daripada minat mendalam seorang anak muda bernama Salleh terhadap dunia seni dan permotoran. Tanpa pendidikan formal didalam seni lukis, hanya berbekalkan semangat dan pembelajaran sendiri, Salleh berjaya mengubah minatnya menjadi sebuah perniagaan yang kian mendapat perhatian penggemar motosikal dan seni.
Apa yang membezakan Salleh Paint Works adalah sentuhannya yang berbeza. Beliau tidak mengikut arus rekaan tipikal yang sudah biasa kita lihat. Sebaliknya, beliau memilih untuk mencipta gaya tersendiri iaitu lebih ke arah vektor, abstrak, garisan berani dan rekaan yang jarang diterokai oleh orang lain. Hasilnya? Setiap motosikal yang keluar dari bengkel ini bagaikan satu karya seni yang bergerak di atas jalan raya.

Selain menghasilkan rekaan airbrush yang memukau dan kerja ‘full body repaint’ yang kemas, Salleh juga menawarkan khidmat membaiki ‘coverset’, servis asas motosikal, penukaran tayar serta pemasangan aksesori. Apa saja yang boleh dicat, akan dicat dengan penuh teliti, memenuhi kehendak pemilik serta dengan cita rasa tersendiri.
Menariknya, bengkel ini bukan hanya sekadar tempat membaiki atau mencantikkan motosikal, ia adalah ruang ekspresi dan eksperimen. Setiap pelanggan bukan sekadar klien, tetapi rakan kolaborasi yang bersama-sama menghidupkan satu visi visual yang unik. Tidak hairanlah semakin ramai peminat dua roda datang dari jauh semata-mata mahu mendapatkan sentuhan Salleh.
Sebagai rakan strategik TW Media, Salleh Paint Works bakal membawa warna dan identiti baharu ke dalam dunia permotoran tempatan, dari helmet pelumba ke ‘livery’ pasukan, sehinggalah ke gaya jalanan yang lebih berani dan segar.
Teruskan bersama Two Wheels..!