PETRONAS perlu bertindak pulihkan imej di persada dua roda dunia.

Wandi

PETRONAS, satu jenama kebanggaan Malaysia yang gah di pentas Formula 1 dan MotoGP, kini dipersoal hebat susulan kerjasama berterusan dengan MIE Racing dalam Kejohanan Superbike Dunia (WSBK). MIE Racing sejak sekian lama menunjukkan prestasi hambar dan tidak pernah mencatat keputusan yang membanggakan serta sering terperosok di belakang grid. Lebih malang, pasukan ini dilihat tidak layak pun bersaing di peringkat dunia dari segi teknikal, sumber, mahupun strategi perlumbaan.

Meskipun kelemahan ini sudah lama diketahui umum, PETRONAS tetap meneruskan penyaluran dana, seolah-olah menutup mata terhadap kerugian reputasi yang semakin parah. Satu demi satu isyarat jelas muncul, termasuk tindakan figura penting pasukan, Tarran McKenzie, yang kini telah angkat kaki dan itu semestinya satu petanda dalaman bahawa pasukan ini bermasalah dan tidak stabil.

Lebih menyakitkan, pelumba Malaysia yang diserap ke dalam MIE Racing seolah-olah dijadikan mangsa. Mereka dihantar bertarung di atas jentera tidak kompetitif yang bukan sahaja menutup peluang mencatat kejayaan malah menjatuhkan maruah mereka. Bukan kemajuan yang dicapai, tetapi penghinaan di pentas dunia.

Jika PETRONAS ingin terus relevan dan dihormati dalam dunia perlumbaan dua roda, langkah segera perlu diambil dan ia bermula dengan memutuskan hubungan dengan MIE Racing. Sudah tiba masanya PETRONAS menilai semula arah tuju pelaburan dalam sukan ini dan mencari pasukan yang benar-benar mempunyai kapasiti untuk menjulang gelaran juara dunia.

Pasukan seperti Aruba.it Ducati, Yamaha GRT atau bahkan pasukan baharu yang menunjukkan potensi besar pasti akan mempertimbangkan tajaan jika nilai yang ditawarkan tinggi dan konsisten. Dalam dunia perlumbaan profesional, dana besar sentiasa dicari. Amat mustahil mana-mana pasukan berwibawa akan menolak jika PETRONAS hadir dengan pakej tajaan yang kukuh. Langkah ini bukan sahaja memulihkan nama baik syarikat di mata dunia malah membuka lebih banyak ruang kepada pelumba Malaysia untuk bersaing secara adil dan bermaruah.

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Search

Archives