
Albert Valera, pengurus kepada Jorge Martin, meluahkan rasa kecewa terhadap Aprilia kerana menolak permintaan untuk melanjutkan tarikh akhir klausa prestasi dalam kontrak pelumba itu. Penolakan ini didakwa menyebabkan Martin terlepas peluang untuk menilai sepenuhnya kemampuan jentera RS-GP sebelum membuat keputusan jangka panjang mengenai masa depannya.
Namun, tindakan Valera yang tampil seolah-olah menjadi mangsa dalam isu ini menimbulkan persoalan, memandangkan pada awalnya pihak Martin sendiri yang menunjukkan keinginan untuk memutuskan kontrak bersama Aprilia bagi memilih pasukan lain.
Menurut Valera, mereka sejak awal terbuka untuk melanjutkan tempoh penilaian agar kedua-dua pihak mempunyai masa mencukupi untuk menyesuaikan diri.
“Kami memang dari awal mahu panjangkan masa itu supaya Jorge sendiri dapat uji jenteranya. Tiada siapa boleh nilai kelajuannya – dia perlu rasa sendiri,” katanya.
Meskipun kontrak telah ditandatangani, Valera masih berharap Aprilia akan mempertimbangkan lanjutan tersebut. Namun, Aprilia kekal berpegang pada perjanjian asal, menyebabkan pihak Martin terpaksa akur dengan tarikh yang telah ditetapkan.
Valera turut menegaskan bahawa Martin berhak untuk menilai jentera itu sendiri sebelum membuat keputusan, sambil menambah bahawa keyakinan terhadap projek Aprilia boleh terjejas jika peluang itu tidak diberi.
“Kalau kami tak beri keyakinan itu, mesej yang diterima akan jadi salah, dan Jorge mungkin mula mempertimbangkan pasukan lain,” jelasnya.
Walau bagaimanapun, kenyataan ini dilihat bercanggah dengan tindakan mereka sebelum ini yang dikatakan telah membuka ruang untuk meninggalkan Aprilia. Tindakan Valera menuding jari kepada Aprilia dalam keadaan ini dilihat oleh sesetengah pihak sebagai usaha untuk ‘play victim’ bagi menutup hakikat sebenar.
Beliau turut mengakui prestasi positif Marco Bezzecchi bersama Aprilia dan percaya Martin juga mampu menunjukkan potensi sama, asalkan isu masa depan diselesaikan segera bagi membolehkan Martin fokus sepenuhnya untuk baki musim ini.