
Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang (SIC) dikhabarkan sedang merancang untuk menganjurkan acara Live Viewing MotoGP terbesar, julung kali diadakan di litar tersebut!
Menurut sumber yang dipercayai, acara ini bukan sekadar tayangan langsung perlumbaan MotoGP, malah bakal merangkumi siaran penuh bagi semua kategori utama termasuk Red Bull Rookies Cup, yang menyaksikan kemunculan pelumba muda sensasi negara, Hakim Danish, serta ESBK (European Superbike Championship) yang turut menampilkan bintang muda Qabil Irfan.
Sudah tentu kategori utama seperti Moto3, Moto2 dan MotoGP juga akan ditayangkan secara langsung dengan pengalaman audio visual yang memukau di skrin gergasi litar.
Apa yang membuatkan acara ini lebih menarik, dikhabarkan pelbagai aktiviti sampingan turut akan dianjurkan seperti sesi ramah mesra bersama pelumba, food truck festival, jualan eksklusif barangan rasmi MotoGP dan Petronas, pameran motosikal, aktiviti kanak-kanak, dan cabutan bertuah.
Walaupun belum ada pengesahan rasmi daripada pihak penganjur, ini akan membawa keterujaan kepada peminat dan berharap agar khabar ini menjadi kenyataan, satu usaha besar dalam mendekatkan peminat Malaysia kepada dunia MotoGP yang mereka cintai sambil promosikan pusingan MalaysianGP.
Adakah ini tanda awal kembalinya keghairahan MotoGP di Sepang dengan lebih meriah tahun ini? Kita tunggu dan lihat.