Hakim Danish Terus Cemerlang dalam Misi ‘Road to MotoGP’

Mohd Osman

Pelumba muda sensasi tanah air, Hakim Danish, terus mencipta gelombang dalam dunia perlumbaan motosikal antarabangsa apabila menunjukkan peningkatan konsisten sejak menyertai Red Bull MotoGP Rookies Cup pada tahun 2023. Dalam tempoh tiga musim, beliau telah membuktikan dirinya sebagai antara bakat terbaik Asia Tenggara yang sedang meniti tangga kejayaan menuju ke kejuaraan dunia MotoGP.

Jika dibandingkan selepas enam perlumbaan bagi setiap musim, prestasi Hakim jelas meningkat dengan ketara iaitu daripada 46 mata pada tahun pertamanya, meningkat kepada 72 mata pada 2024, dan melonjak kepada 125 mata setakat enam perlumbaan pada musim 2025. Statistik ini bukan sahaja mencerminkan bakat luar biasanya, malah menunjukkan kematangan dan keupayaan menyesuaikan diri yang semakin tajam di peringkat antarabangsa.

Lebih membanggakan, Hakim mencatat kemenangan sulung dalam Red Bull Rookies Cup apabila menjuarai Perlumbaan Kedua di Aragon, iaitu pusingan ketiga kejohanan musim ini. Detik manis ini bukan sekadar pencapaian peribadi, tetapi turut menjadi lonjakan moral dan keyakinan buat dirinya untuk terus bersaing dalam kelompok terbaik.

Kini memasuki musim ketiganya dan yang terakhir dalam Rookies Cup, Hakim Danish semakin hampir merealisasikan impian ‘Road to MotoGP’. Kejohanan ini hanya terbuka kepada pelumba berusia sehingga 18 tahun dan dengan tarikh lahirnya melepasi 30 Julai, musim 2025 merupakan peluang terakhir buatnya menyerlah dan menarik perhatian pasukan Moto3 untuk kempen musim 2026.

Dengan sokongan berterusan daripada Red Bull dan pengalaman berharga yang telah dikumpul sejak 2023, perjalanan Hakim Danish bukan lagi angan-angan. Beliau kini dilihat sebagai antara calon pelumba masa depan yang mampu mengharumkan nama Malaysia di pentas Kejuaraan Dunia MotoGP.

Teruskan Bersama Two Wheels!

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Search

Archives