
Yamaha akhirnya mendedahkan gambar dan bunyi enjin baharu V4 mereka yang sedang diuji di Litar Catalunya, Barcelona. Ianya adalah satu langkah yang mencetuskan keterujaan dalam kalangan peminat MotoGP di seluruh dunia.
Selepas bertahun-tahun bergantung kepada enjin inline-4, Yamaha kini secara rasmi menunjukkan kesediaan mereka untuk beralih ke konfigurasi V4 yang lebih moden dan kompetitif. Yamaha sendiri telah berkongsi rakaman audio dan gambar ujian tersebut melalui saluran rasmi mereka dan ianya menandakan kesungguhan jenama Jepun itu untuk memulakan era baharu dalam saingan kejuaraan dunia.
Perubahan paling ketara dapat dilihat pada reka bentuk ekzos jentera ujian tersebut. Tidak seperti model sebelumnya yang menggunakan sistem ekzos sepenuhnya di bawah, gambar yang dikongsi Yamaha menunjukkan satu muncung ekzos jelas terletak di bahagian tepi tempat duduk, iaitu susunan tipikal untuk enjin V4. Ini menjadi petunjuk visual utama bahawa jantung jentera ini bukan lagi inline-4 , tetapi kini sebuah V4 yang menjanjikan kuasa lebih agresif serta karekteristik pengendalian yang berbeza.
Sudah sekian lama peminat dan penganalisis menantikan Yamaha melakukan langkah ini, terutamanya selepas melihat kejayaan konsisten pasukan seperti Ducati, KTM dan Aprilia yang semuanya menggunakan enjin V4.
Ketika prestasi Yamaha mula merosot dalam beberapa musim kebelakangan ini, ramai yang percaya kekangan utama terletak pada konfigurasi enjin mereka yang sudah ketinggalan zaman. Kini dengan pengesahan rasmi melalui ujian dan perkongsian bahan visual dan audio dari Yamaha sendiri, harapan kembali membara untuk melihat mereka kembali bersaing di barisan hadapan.
Berikut adalah bunyi yang dikongsi Yamaha beserta gambar :

Langkah ini bukan sahaja penting dari sudut teknikal, tetapi juga simbolik, ia memberi isyarat bahawa Yamaha sedang bersedia untuk mencabar kembali dominasi pasukan V4 yang lain. Namun, ianya masih di peringkat ujian dan masih belum terbukti di litar. Dengan peralihan ini, peminat boleh menjangkakan era baharu yang mungkin menyaksikan kebangkitan semula jentera biru dalam saingan MotoGP.