
Juara dunia dua kali WorldSBK (2021 & 2024), Toprak Razgatlioglu kini sah akan membuat penampilan sulung dalam kejuaraan MotoGP pada musim 2026. Pelumba Turki berusia 28 tahun itu telah menandatangani kontrak bersama Yamaha dan bakal beraksi bersama Pramac Racing, pasukan satelit rasmi Yamaha yang bakal mendapat tajaan utama daripada Red Bull bermula musim hadapan.
Perkembangan ini dimuktamadkan selepas Paolo Pavesio, Pengarah Komunikasi dan Pemasaran Yamaha Eropah, dilaporkan terbang ke Turkiye bagi memuktamadkan perjanjian bersama Toprak. Langkah tersebut menandakan komitmen tinggi Yamaha untuk kembali bersaing dalam kelompok teratas MotoGP, selepas beberapa musim yang mencabar.
Pengurus peribadi Toprak, Kenan Sofuoğlu, turut mengesahkan perjanjian tersebut, dengan memetik “Kami telah berbincang dengan lima pengeluar dari MotoGP dan WorldSBK. Kami akhirnya menandatangani kontrak yang bakal memuaskan semua pihak.”
Toprak, yang terkenal dengan gaya tunggangan penuh aksi serta kemahiran membrek luar biasa, dijangka akan menjadi antara pelumba paling menonjol dalam grid MotoGP apabila membuat kemunculan nanti. Peralihan ke MotoGP ini merupakan langkah besar dalam kerjayanya selepas beberapa musim yang sangat berjaya di pentas WorldSBK.
Dengan Pramac Racing kini menjadi pasukan satelit rasmi Yamaha bermula musim ini, penyertaan Toprak dijangka mengukuhkan lagi struktur pasukan itu. Pengumuman rasmi dijangka akan dibuat dalam masa terdekat oleh pihak Yamaha dan Pramac. Siapakah yang bakal menjadi rakan sepasukan beliau? Sama-sama kita nantikan.
Teruskan bersama Two Wheels..!
📷 BMW