Raul Fernandez Hadapi Hari Sukar di Silverstone, Fokus Kejar Top 10 pada Hari Ahad

MC

Pelumba Trackhouse Racing, Raul Fernandez, berdepan hari yang penuh cabaran di Silverstone dalam perlumbaan Sprint MotoGP, namun tetap optimis untuk bangkit dalam perlumbaan utama Ahad ini.

Bermula dari petak ke-16 di grid, Raul memilih kombinasi tayar soft slick di depan dan belakang. Walaupun menunjukkan prestasi meyakinkan pada awal hari, hasil akhirnya tidak seperti yang dijangkakan. Dalam sesi Kelayakan Pertama (Q1), Raul mencatat masa keenam terbaik – satu keputusan yang mengecewakan kerana tidak cukup untuk melayakkan diri ke Q2, walaupun dia hampir mencapainya sebelum dua pusingan terakhir diganggu oleh bendera kuning.

Sebaik perlumbaan Sprint bermula, Raul kehilangan satu kedudukan di pusingan pertama, jatuh ke tempat ke-17. Dia sempat kembali ke P16, namun pada pusingan ke-4, kehilangan tiga kedudukan sekali gus dan jatuh ke P19. Meskipun berjaya memperbaiki kedudukan pada pusingan ke-5 dan ke-6, dia kembali kehilangan tempat dan akhirnya menamatkan perlumbaan di tempat ke-19.

Insiden penting berlaku ketika Raul berlanggar dengan Franco Morbidelli. “Franco keluar sedikit lebar dan kembali ke garisan, kami bersentuhan. Saya tak pasti siapa yang salah – mungkin insiden biasa dalam perlumbaan,” kata Raul. Akibat pelanggaran itu, sayap sebelah kanan motosikalnya tercabut, menyebabkan dia mengalami masalah kawalan ketika membrek, lebih-lebih lagi dengan tiupan angin kuat dan ketidakseimbangan aerodinamik.

“Ini kali pertama saya berlumba dengan keadaan motosikal seperti itu – sangat sukar. Saya tak dapat kutip maklumat yang berguna untuk perlumbaan esok. Tapi saya tetap dapat rasa positif dengan motosikal ini. Kami sedang bekerja ke arah yang betul,” tambahnya lagi.

Raul turut memberi pujian kepada rakan sepasukan, Marco Bezzecchi, yang melakukan perlumbaan cemerlang. “Kami belum berada di tahap Marco, tapi saya rasa kami semakin hampir. Jika semuanya berjalan lancar esok dan tiada insiden di awal perlumbaan, sasaran saya adalah untuk bertarung dalam kelompok Top 10. Saya percaya itu adalah sasaran yang realistik.”

Team Principal Trackhouse Racing, Davide Brivio, meluahkan kekecewaannya selepas pasukannya mengalami hari yang penuh dugaan di perlumbaan Sprint MotoGP di Silverstone. Nasib tidak menyebelahi pelumba mereka, Raul Fernandez, yang terlibat dalam insiden di pusingan pertama, dan turut mengesahkan bahawa Ai Ogura tidak akan beraksi untuk baki hujung minggu ini.

“Kami sangat tidak bernasib baik hari ini, tapi beginilah dunia perlumbaan,” kata Brivio. “Malangnya, Raul telah dilanggar oleh pelumba lain pada pusingan pertama dan menyebabkan sayap hadapan sebelah kanan motosikalnya rosak. Selepas itu, motosikal menjadi tidak stabil dan sukar dikawal di beberapa bahagian litar.”

Raul tetap meneruskan perlumbaan walaupun keadaannya sukar, dengan harapan untuk mengumpul data berguna untuk perlumbaan utama Ahad. “Selepas satu pusingan, perlumbaan kami sudah ‘musnah’. Tapi Raul cuba habiskan juga perlumbaan semata-mata untuk cari maklumat,” jelas Brivio.

Dalam masa yang sama, Brivio turut mengesahkan situasi terkini Ai Ogura, yang tidak dapat mengambil bahagian langsung pada hari Sabtu. “Sayangnya, Ai tidak cergas untuk berlumba hujung minggu ini. Dia akan pulang ke Barcelona esok pagi dan akan menjalani pemeriksaan lanjut pada hari Isnin. Selepas itu, kami akan berbincang dengan pasukan perubatan tentang langkah seterusnya.”

“Harapnya dia akan kembali untuk pusingan di Aragon, tapi kami perlukan beberapa hari lagi untuk pastikan segalanya,” tambahnya.

Trackhouse Racing kini fokus untuk bangkit semula dalam perlumbaan utama Ahad ini, dengan harapan Raul dapat kembali menunjukkan potensi sebenarnya – sambil mendoakan pemulihan segera buat Ai Ogura.

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
2.4k views

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Search

Archives