Perodua Dedah Episod Terakhir Perjalanan EV dengan Paparan Separuh Potongan Prototaip

MC


SERDANG, 8 MEI 2025 – Perodua terus mencuri tumpuan di Malaysia Autoshow 2025 (MAS 2025) apabila mendedahkan separuh potongan (half-cut) kenderaan elektrik (EV) prototipnya – memberi gambaran jelas tentang keupayaan rekaan dan kejuruteraan Perodua dalam membina kenderaan masa hadapan yang mampan dan inovatif.

Paparan separuh potongan ini menandakan ‘episod terakhir’ perjalanan EV Perodua, dengan memfokuskan kepada reka bentuk dalaman dan teknologi dalaman prototip tersebut. Menariknya, pengunjung juga berpeluang merasai pengalaman pemanduan simulasi EV ini secara langsung di booth Perodua.

Teknologi Tempatan, Aspirasi Kebangsaan

“Paparan ini menyerlahkan keupayaan Malaysia dalam mengadaptasi dan mengasimilasikan teknologi EV sebagai teknologi milik kita sendiri,” ujar Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad.

Menurut beliau, booth Perodua di MAS 2025 menampilkan pelbagai inisiatif dalam usaha mempercepatkan elektrifikasi industri automotif negara, sekaligus memperkukuh ekosistem mobiliti hijau tempatan.

X06E – Kolaborasi Pendidikan dan Inovasi

Selain EV prototip, Perodua turut mempamerkan satu lagi inovasi menarik – X06E, hasil kolaborasi bersama Politeknik Muadzam Shah. Prototip ini merupakan kenderaan hibrid/elektrik (HEV/BEV) hasil pembangunan bersama pelajar teknikal tempatan.

“Inisiatif ini membuktikan bahawa pelajar teknikal kita juga mampu menghasilkan teknologi canggih. Bagi Perodua, ini adalah misi kami – membangunkan ekosistem automotif sambil memindahkan ilmu kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau turut menegaskan komitmen Perodua dalam membina negara melalui aktiviti sebegini yang memanfaatkan seluruh lapisan masyarakat.

Tenaga Bersih: Langkah Berani ke Arah Masa Depan

Dalam usaha mempercepatkan transisi kepada tenaga hijau, Perodua juga memperkenalkan Emerald Horizon – syarikat berpangkalan di Austria – dalam usaha membangunkan sumber tenaga alternatif berasaskan unsur nadir bumi, thorium.

“Diharapkan pembangunan ini dapat mengurangkan pergantungan kepada tenaga berasaskan bahan api fosil. Teknologi ini berpotensi menyumbang kepada pengurangan jejak karbon negara dan menjadi sebahagian penting dalam peralihan kepada tenaga bersih.”

Kini, Perodua turut menggunakan tenaga solar dan gas asli dalam operasinya, seiring dengan sasaran mencapai status karbon neutral menjelang 2050.

Saksikan Masa Depan Automotif Bersama Perodua

“Kami mengalu-alukan semua rakyat Malaysia untuk mengunjungi booth Perodua di MAS 2025 dan alami sendiri ke mana arah tuju kami. Ayuh, sertai perjalanan kami ke masa depan mobiliti yang lebih bersih, pintar dan lestari,” ujar Dato’ Sri Zainal menutup bicara.

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
1.7k views

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Search

Archives