
Sepang, 31 Mei 2025 – Pusingan 2 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC), Voge Racing Team meneruskan misi mereka dalam kategori UB150 dengan pendekatan yang berbeza berbanding pasukan-pasukan gergasi dari Jepun. Meskipun masih baharu dalam saingan ini dan hanya menurunkan dua jentera di bawah satu pasukan, Voge hadir dengan tekad yang jelas — bukan semata-mata untuk mengejar podium, tetapi untuk mengumpul data sebanyak mungkin bagi membina masa depan yang lebih kompetitif.
Berbanding pasukan seperti Yamaha dan Honda yang memiliki pengalaman puluhan tahun serta kelebihan dari segi pembangunan jentera, Voge sedar bahawa mereka masih di peringkat pembelajaran. Di sinilah Sepang memainkan peranan penting. Setiap lap di litar ini menjadi makmal terbuka untuk jurutera dan pelumba pasukan memahami karakter jentera, tingkah laku di selekoh, serta prestasi sebenar dalam suasana perlumbaan sebenar.
Kekurangan maklumat sebelum ini menjadi cabaran utama. Dengan hanya satu pasukan dan dua jentera, peluang untuk mengumpul data lebih terbatas berbanding lawan yang mempunyai pelbagai pasukan satelit dan pelumba. Namun, ini tidak menghalang kilang dari terus memberi sokongan penuh, dari aspek teknikal, logistik, dan pembangunan berterusan. Apa jua maklum balas daripada pelumba terus dihantar ke pihak kilang untuk dianalisis dan diterjemahkan kepada peningkatan pada jentera.
Fokus utama mereka kali ini bukanlah podium, tetapi mendapatkan pemahaman mendalam tentang keperluan perlumbaan UB150, gaya tunggangan pesaing, dan bagaimana jentera mereka boleh ditambah baik untuk pusingan akan datang. Voge Racing Team tahu bahawa kejayaan tidak datang sekelip mata, namun setiap lap yang dilalui di Sepang adalah satu langkah ke hadapan dalam membina pasukan yang lebih kukuh, lebih pantas, dan lebih bersedia untuk mencabar dominasi jentera Jepun dalam masa terdekat.