
Menjelang Pusingan Ke-2 Kejuaraan Asia Road Racing Championship (ARRC) 2025 di Litar Antarabangsa Sepang, pasukan UMA Racing Yamaha Maju Motor Asia telah membuat kunjungan hormat ke ibu pejabat UMA Racing. Kunjungan ini melibatkan lima pelumba utama termasuk Nazirul Izzat (Ayoi), Daniel Syahmi dan Muhammad Adib Arsyad, serta dua pelumba antarabangsa dari Filipina, Eane Jaye dan April King.
Sebagai penaja utama, UMA Racing terus komited dalam menyokong pembangunan bakat sukan permotoran dua roda. Dengan slogan “Reveal True Performance”, syarikat ini terkenal menghasilkan komponen motosikal berprestasi tinggi melalui penyelidikan dan pembangunan teknologi terkini.
Menurut Penolong Pengurus Besar Jenama UMA Racing, Alfred Lim Chiu Siong, penajaan ini memberi manfaat strategik kepada kedua-dua pihak. Ia bukan sahaja mengukuhkan jenama, malah menyokong pertumbuhan sukan permotoran tanah air.
Pelumba seperti Ayoi kembali dengan semangat baharu selepas pulih dari kecederaan, manakala Daniel dan Adib bersedia mencabar diri di litar Sepang. Kunjungan ini turut disertai pelumba Kasma Daniel Kasmayudin yang juga ditaja UMA Racing, membuktikan komitmen syarikat terhadap bakat tempatan dan antarabangsa.



