
Sebuah jentera perlumbaan luar biasa – KTM RC16 – yang mencatat sejarah sebagai motosikal MotoGP Top Speed paling laju pernah direkodkan 366.1 km/j, kini ditawarkan untuk dimiliki melalui lelongan eksklusif. Dengan harga permulaan bermula €350,000 atau sekitar RM1.6 juta Malaysia. Ini bukan sekadar sebuah motosikal, tetapi sebuah artifak bersejarah dalam dunia sukan permotoran.

Motosikal dengan Rekod Dunia
Pada perlumbaan Sprint di litar Autodromo del Mugello, Brad Binder melakar sejarah apabila menunggang KTM RC16 dengan kelajuan 366.1 km/j di trek lurus sejauh 1.1 kilometer – satu rekod yang masih belum dipecahkan. Detik ini bukan sahaja memahat namanya dalam sejarah MotoGP, tetapi juga menjadikan motosikal ini sebagai jentera terpantas pernah direkodkan secara rasmi dalam kejuaraan dunia MotoGP.
Kejuruteraan Bertaraf Dunia
KTM RC16 ini dibina hasil kepakaran KTM Factory Racing bersama Red Bull Advanced Technologies, dan diuji serta dikembangkan oleh legenda MotoGP, Dani Pedrosa. Ia dilengkapi spesifikasi teknikal terkini termasuk:
Spesifikasi Hebat KTM RC16
- Enjin V4 1,000cc, 295 bhp dengan had rpm 18,000
- Kotak gear enam kelajuan ‘seamless shift’
- Sistem ekzos penuh titanium dari Akrapovič
- Suspensi WP Suspension, brek karbon Brembo
- Berat minimum hanya 157 kg
- Aerodinamik dibangunkan bersama Red Bull Advanced Technologies
Motosikal ini adalah milik rasmi pasukan KTM, bukan replika atau replika pasaran terbuka. Ia merupakan unit sebenar yang digunakan dalam musim 2023 dan terlibat dalam pelbagai perlumbaan sepanjang tahun, termasuk dua kemenangan Sprint dan beberapa podium Grand Prix.
Brad Binder, pelumba dari Afrika Selatan, telah mencipta nama sebagai salah seorang juara dalam kejuaraan ini. Dari menjuarai Moto3 pada 2016, menjadi juara perlumbaan MotoGP dalam penampilan ke-3 pada 2020, sehinggalah menakluk kelajuan di Mugello pada 2023, Binder telah membuktikan keupayaan luar biasa di atas jentera KTM.
Musim 2023 merupakan antara musim terbaiknya, dengan dua kemenangan Sprint, tujuh podium Sprint, dan lima podium perlumbaan penuh – membolehkannya menamatkan musim di tempat keempat keseluruhan.
Untuk Pengumpul, Penggemar & Sejarahwan Permotoran
KTM RC16 ini bukan sahaja sebuah motosikal, tetapi artifak bersejarah dalam dunia perlumbaan moden. Ia ditawarkan sebagai unit pameran yang berfungsi penuh – dengan syarat bahawa ia tidak boleh digunakan di trek secara bebas kerana sistem ECU khas dan penyelenggaraan kompleks. Namun, sewaktu penyerahan kepada pembeli, motosikal ini akan dihidupkan di hadapan mereka sebagai bukti keaslian dan operasi.
Untuk para pengumpul, institusi automotif, atau penggemar MotoGP sejati, ini adalah peluang sekali seumur hidup untuk memiliki jentera sebenar yang pernah membuat sejarah di litar antarabangsa.



Jika berminat, anda boleh ke laman web ini untuk dibida :
https://rmsothebys.com/auctions/s0525/lots/r0002-2023-ktm-rc16-motogpt/#/smallgallery2_1325593