MotoGP Rasmi Ubah Peraturan Ujian untuk Pelumba Cedera

Mohd Osman

MotoGP telah memperkenalkan perubahan terhadap peraturan ujian bagi pelumba yang mengalami kecederaan, susulan cadangan yang dikemukakan pada awal musim ini oleh pasukan Aprilia dan pelumba Jorge Martin.

Di bawah peraturan baharu ini, mana-mana pelumba MotoGP yang terpaksa menarik diri daripada sekurang-kurangnya tiga acara berturut-turut kini dibenarkan untuk menjalani ujian selama satu hari sebelum kembali menyertai hujung minggu perlumbaan.

Yang dimaksudkan dengan “acara” adalah sama ada hujung minggu perlumbaan MotoGP ataupun sesi ujian rasmi yang berlangsung lebih daripada satu hari.

Syarat-Syarat Ujian

  • Ujian mesti dijalankan di litar yang dibenarkan mengikut status konsesi pengeluar pelumba, atau di mana-mana litar yang tidak menjadi tuan rumah perlumbaan MotoGP sepanjang baki musim ini.
  • Ujian tidak boleh dijalankan dalam tempoh kurang daripada 8 minggu sebelum perlumbaan MotoGP diadakan di litar yang sama.
  • Tayar yang digunakan semasa ujian akan diambil daripada peruntukan tayar ujian pasukan pengeluar, dengan had maksimum 3 set tayar sahaja untuk sesi tersebut.

Ujian Pasca Perlumbaan Dianggap Sebagai Sebahagian daripada Hujung Minggu GP

Perlu juga diberi perhatian bahawa ujian satu hari yang dijalankan selepas perlumbaan (post-race test) secara rasmi dianggap sebagai sebahagian daripada hujung minggu Grand Prix sebelumnya.

Contohnya, ujian hari Isnin di Jerez baru-baru ini secara teknikalnya dianggap sebagai sebahagian daripada GP Sepanyol, walaupun berlangsung selepas hari perlumbaan utama. Ini bermaksud bahawa sekiranya seseorang pelumba menyertai ujian pasca perlumbaan seperti di Aragon (hari selepas perlumbaan diadakan), penyertaannya itu akan dikira sebagai telah mengambil bahagian dalam acara MotoGP tersebut.

Oleh itu, pelumba tidak boleh menjalani ujian pasca perlumbaan dan kemudian menuntut kelayakan untuk satu lagi ujian sehari yang diperuntukkan bagi pelumba cedera — kerana penglibatan mereka dalam ujian itu telah “mengaktifkan” kehadiran mereka dalam acara MotoGP berkenaan.

Jorge Martin dan Miguel Oliveira Mungkin Terlibat

Perubahan ini berpotensi memberi kelebihan kepada Jorge Martin, yang mengalami kecederaan serius termasuk patah tulang rusuk dan pneumotoraks selepas kembali beraksi di GP Qatar. Selepas tidak dapat bertanding di GP Sepanyol, sekiranya beliau juga tidak mengambil bahagian di GP Perancis dan GP Britain, Martin akan layak untuk menjalani ujian satu hari sebelum kembali ke saingan.

Sementara itu, pelumba Miguel Oliveira yang telah terlepas tiga acara berturut-turut – GP Amerika Syarikat, Qatar, dan Sepanyol – kini sudah layak untuk menyertai ujian sehari yang diperuntukkan bagi pelumba yang dalam proses pemulihan.

Perubahan ini dilihat sebagai langkah progresif yang lebih berpaksikan kebajikan pelumba, membolehkan mereka menilai kesediaan fizikal dan teknikal sebelum kembali bersaing di pentas tertinggi sukan permotoran dunia.

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
1.7k views

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Search

Archives