
MotoGP Rasmi mengumumkan denda dan mengambil pendekatan lebih tegas terhadap kekacauan yang berlaku sebelum perlumbaan bermula. Terbaru, badan pengelola sukan permotoran dua roda paling berprestij itu mengumumkan bahawa mana-mana pelumba yang menyebabkan gangguan signifikan sebelum lampu hijau menyala akan dikenakan hukuman double long lap penalty, satu tindakan yang dijangka memberi impak besar kepada perlumbaan mereka.
Langkah ini dilihat sebagai reaksi langsung terhadap apa yang berlaku di GP Americas (COTA) baru-baru ini, apabila juara dunia 8 kali, Marc Marquez, mencuri perhatian bukan kerana podium, tetapi kerana insiden kecemasan saat akhir yang mencetus kekeliruan.
Marquez, yang ketika itu menghadapi pemilihan strategi teknikal yang salah pada motornya, secara mengejutkan berlari ke arah pit untuk menukar jentera. Tindakan itu menyebabkan kekecohan di grid dan memaksa perlumbaan ditangguhkan buat seketika. Walaupun tindakan tersebut sah dari segi peraturan teknikal, ia menimbulkan persoalan mengenai keselamatan dan gangguan terhadap aliran perlumbaan.
Melalui peraturan baharu ini, MotoGP seolah-olah memberi isyarat: tidak kira siapa anda, juara dunia atau pelumba ‘rookie’, kekacauan menjelang perlumbaan tidak akan ditoleransi. Double long lap penalty bukan sahaja memotong masa, malah boleh menghancurkan peluang pelumba untuk mencabar podium.
Dengan pelumba seperti Marquez yang terkenal dengan aksi berani dan keputusan di luar jangkaan, peraturan ini pasti akan mengubah cara pasukan dan pelumba merancang detik-detik kritikal sebelum perlumbaan bermula. MotoGP bukan sahaja menuntut kelajuan dan ketangkasan. Dengan peraturan ini, kini menuntut disiplin para pelumba dari grid permulaan lagi.
Adakah anda rasa penalti ini adil atau terlalu keras?