
Dari kecederaan selepas latihan, pemulihan singkat, insiden crash pada Perlumbaan 1, sehinggalah berjaya menamatkan Perlumbaan 2 dengan selamat, itulah perjalanan penuh cabaran yang dilalui oleh pelumba TW Racing, Allan Haris Herman dalam saingan Malaysian Superbike Championship (MSBK) bagi kategori Yamaha R15M Race Elites.
Allan, yang juga merupakan seorang pelajar universiti, terpaksa mengimbangi jadual akademik yang padat dengan komitmen tinggi sebagai pelumba profesional. Sebelum turun ke kejohanan MSBK, beliau mengalami kecederaan otot dikenali sebagai Delayed Onset Muscle Soreness (DOMS), berpunca daripada latihan fizikal yang intensif. Proses pemulihan yang singkat bagaimanapun tidak melemahkan semangat juangnya untuk beraksi di litar.
Dalam Perlumbaan 1, Allan memulakan perlumbaan dengan baik dan menunjukkan potensi untuk bersaing dalam kelompok hadapan. Namun, nasib tidak menyebelahinya apabila beliau terlibat dalam kemalangan di selekoh 11 pada pusingan terakhir. Insiden tersebut menyebabkan Allan mengalami luka serta bengkak pada siku kiri akibat hentakan kuat semasa terjatuh.
Selepas perlumbaan, Allan segera menjalani pemulihan asas menggunakan kaedah R.I.C.E (Rest, Ice, Compression, Elevation) dan mengikuti prosedur rawatan yang diperlukan. Dalam masa yang sama, beliau turut melaksanakan latihan psikologi seperti teknik pernafasan bagi menenangkan minda dan memulihkan semangat. Persiapan mental ini amat penting bagi memastikan pelumba tidak terperangkap dalam trauma yang boleh menjejaskan prestasi di atas litar.
Walaupun belum pulih sepenuhnya dan berdepan isu teknikal pada jentera, Allan tetap turun untuk Perlumbaan 2. Dengan semangat kental, beliau berjaya mengharungi perlumbaan hingga ke garisan penamat, sekaligus membuktikan ketahanan fizikal dan mental yang luar biasa.
Kini, fokus Allan beralih kepada sesi pemulihan intensif sebagai persiapan menghadapi Pusingan 2 Kejohanan Malaysian Cub Prix yang dijadualkan berlangsung pada 17 dan 18 Mei 2025 di Litar Lumba Tangkak, Johor.
Teruskan bersama Two Wheels…!