Martin akhirnya buka mulut – jelaskan situasi sebenar dengan Aprilia

Mohd Osman

Jorge Martin akhirnya tampil memberi penjelasan penuh mengenai status kontraknya bersama pasukan Aprilia. Beliau menegaskan bahawa beliau tidak pernah melanggar kontrak yang ditandatangani bersama pasukan itu.

Dalam satu kenyataan rasmi di IGstory, Martin menegaskan bahawa beliau tidak pernah melanggar kontrak, sebaliknya hanya menggunakan hak yang telah dipersetujui sejak awal bersama Aprilia.

Berikut adalah kenyataan beliau dalam Bahasa Melayu

Hello semua,
Saya ingin berkongsi dengan semua peminat, media dan mereka yang mengikuti kerjaya saya. Ini penjelasan yang jelas mengenai situasi saya bersama Aprilia.


Sepanjang tahun ini, saya tidak pernah melanggar kontrak. Ketika kami menandatanganinya, saya telah bersetuju dengan Aprilia bahawa, jika beberapa keadaan tertentu tidak dipenuhi, saya berhak untuk menentukan masa depan saya bagi tahun 2026. Ini adalah syarat penting untuk saya menerima tawaran kontrak tersebut pada masa itu.


Ketika saya membuat keputusan untuk menukar pengeluar tahun lalu, salah satu syarat utama saya adalah untuk menguji jentera dalam keadaan sebenar dan memahami pasukan serta metodologi kerjanya. Dengan cara ini saya dapat merasa selesa untuk menandatangani selama dua tahun dan bukannya satu, jadi kami masukkan syarat tersebut.


Apabila tiba masa untuk membuat keputusan seperti yang telah ditetapkan dalam kontrak, saya memilih untuk menggunakan hak saya untuk tidak meneruskan bersama Aprilia bagi musim 2026. Keputusan ini saya buat dengan penuh hormat, secara terbuka dan jelas, kerana saya mahu menentukan sendiri masa depan saya sebagai seorang atlet profesional.


Malangnya, keadaan yang berlaku akibat beberapa kemalangan, walaupun tidak menjejaskan apa yang kami persetujui, telah memberi kesan kepada fasa ini. Sebab itu saya sentiasa terbuka untuk berbincang dengan Aprilia bagi melanjutkan tempoh ini kepada beberapa Grand Prix selepas saya kembali berlumba. Tujuannya adalah agar kedua-dua pihak dapat memberi peluang kedua dan rasa selesa sebelum membuat keputusan untuk 2026.


Saya sentiasa jujur dengan Aprilia, saya sentiasa menghargai jentera, pasukan dan usaha semua yang terlibat dalam projek ini. Satu-satunya perkara yang saya minta ialah supaya kehendak dan semangat perjanjian asal kami dihormati.


Tiada konflik atau tuduhan. Saya hanya mahu dapat melihat ke hadapan dengan lebih jelas, selepas melalui saat-saat sukar dan kecederaan yang serius, dan terus memberikan yang terbaik dalam dan luar litar.


Terima kasih semua kerana faham,
Jorge Martin

Martin menyatakan bahawa ketika kontrak ditandatangani, beliau dan Aprilia telah bersetuju bahawa jika syarat-syarat tertentu tidak dipenuhi, beliau berhak membuat keputusan mengenai masa depannya untuk musim 2026. “Ini adalah syarat penting bagi saya untuk menerima tawaran kontrak mereka pada masa itu,” jelasnya.

Beliau juga menjelaskan bahawa salah satu sebab beliau menyertai Aprilia adalah untuk menguji motosikal dalam keadaan sebenar dan memahami metodologi kerja pasukan. “Kami memasukkan klausa ini supaya saya boleh merasa selesa menandatangani kontrak dua tahun dan bukannya satu tahun,” tambah Martin.

Namun, disebabkan kecederaan serius dan kemalangan yang dialaminya, fasa penilaian ini terjejas. Martin menekankan bahawa beliau sentiasa terbuka untuk berbincang dengan Aprilia bagi memanjangkan tempoh penilaian selepas pulang bertanding. “Tujuannya adalah untuk memberi kedua-dua pihak peluang kedua sebelum membuat keputusan untuk 2026,” katanya.

Martin menegaskan bahawa tiada konflik atau teguran antara beliau dan Aprilia. Beliau hanya mahu keputusan masa depannya dibuat dengan jelas setelah melalui tempoh sukar akibat kecederaan. “Saya sentiasa jujur dengan Aprilia dan menghargai motosikal, pasukan, serta usaha semua yang terlibat dalam projek ini,” ujarnya.

Dengan kenyataan ini, Martin mengesahkan bahawa akan mengakiri karier di Aprilia hujung musim ini. Beliau berharap agar kehendaknya dan semangat perjanjian asal bersama Aprilia dihormati. Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pihak atas sokongan selama ini dan berharap kenyataan ini dapat menjelaskan persoalan yang timbul.

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Search

Archives