
Pengambilalihan penuh KTM oleh Bajaj minggu lalu mencetuskan persoalan besar iaitu adakah masa depan KTM dalam MotoGP masih terjamin? Bajaj, pengeluar motosikal ketiga terbesar dunia, kini memiliki kawalan penuh ke atas KTM selepas menyuntik tambahan 500 juta Euro untuk menyelamatkan syarikat Austria itu daripada hutang bernilai 1.7 bilion Euro, sebahagian besarnya akibat isu lebihan pengeluaran dan kualiti.
Namun, keputusan Bajaj mungkin memberi kesan besar kepada penglibatan KTM dalam dunia perlumbaan, khususnya MotoGP. Dikenali dengan moto Ready To Race, KTM telah lama sinonim dengan sukan permotoran, dari Dakar hingga MotoGP dan ianya hasil visi mantan pemiliknya, Stefan Pierer. Tetapi Rajiv Bajaj, pengerusi dan CEO Bajaj, dikatakan “anti-perlumbaan”, melihat perlumbaan sebagai pelaburan yang tidak menguntungkan.
Lebih membimbangkan, kenyataan rasmi Bajaj mengenai pengambilalihan ini langsung tidak menyentuh soal perlumbaan. Fokus mereka kini adalah kepada “pertumbuhan global, peningkatan jenama dan kepimpinan teknologi.” Ini memberi gambaran bahawa MotoGP mungkin bukan lagi keutamaan.
Prestasi semasa KTM dalam MotoGP juga tidak membantu. Sejak kemenangan terakhir pada 2021, jentera RC16 masih gagal menyesuaikan diri dengan tayar belakang baru yang terlalu mencengkam, menyebabkan masalah cengkaman depan dan getaran. Pedro Acosta, Brad Binder, Maverick Vinales dan Enea Bastianini masih belum naik podium musim ini.
Dengan Bajaj kini berkuasa penuh, adakah mereka akan terus menyokong impian MotoGP KTM atau menamatkannya? Masa akan menentukan.
Teruskan bersama Two Wheels..!
📷 KTM