
SELANGOR, 29 Mei 2025 – Pelumba kebanggaan negara, Kasma Daniel, kini bersedia untuk meneruskan aksi cemerlangnya dalam Pusingan Kedua Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2025 yang akan berlangsung hujung minggu ini di Litar Antarabangsa Sepang. Kasma yang mewakili pasukan Hong Leong Yamaha Motor, kini mendahului carta keseluruhan dalam kategori SuperSports 600cc (SS600).
Sepang merupakan salah satu litar kegemaran Kasma, dan beliau yakin pengalaman luas di sana akan membantunya mengekalkan kedudukan teratas dalam kejuaraan.
Menjelang perlumbaan, Kasma sempat melawat ibu pejabat RCB, salah satu penaja utamanya. Beliau merakamkan penghargaan kepada semua penaja yang sentiasa menyokong perjalanan kariernya, termasuk dalam kejuaraan ARRC dan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix.
Kasma juga memberikan maklum balas kepada pihak RCB mengenai beberapa perkara teknikal yang boleh diperbaiki, terutamanya berkaitan alat ganti yang digunakan semasa perlumbaan.
Menurut Amir Azizi Rahman, Pengurus Jenama RCB:
“Kami bukan sahaja menaja, tetapi juga sentiasa berhubung dengan pelumba bagi memastikan produk kami memberi prestasi terbaik di litar.”
RCB juga menaja banyak pasukan hebat dalam ARRC seperti:
- UMA Racing Yamaha Maju Motor
- JDT Racing Team
- Boon Siew Honda Racing Team
- Yuzy Honda Racing
- Astra Honda Racing Team
dan banyak lagi termasuk dari Thailand, India, Vietnam, dan Filipina.
Dalam lawatan itu, Kasma turut ditemani rakan sepasukannya dari UMA Racing Yamaha Maju Motor Asia seperti Nazirul Izzat, Danial Syahmi dan Adib Arsyad.

Jadual Perlumbaan ARRC 2025 – Pusingan Kedua (Sepang)
📅 30 Mei (Jumaat) – Sesi Latihan
📅 31 Mei (Sabtu) – Sesi Ujian Masa & Perlumbaan 1
📅 1 Jun (Ahad) – Perlumbaan 2
Peminat sukan permotoran tempatan dijemput hadir ke Litar Sepang bagi memberikan sokongan kepada para pelumba negara yang berjuang mengharumkan nama Malaysia di peringkat Asia!