Jorge Martin Dikabarkan Mahu Tinggalkan Aprilia Akhir Musim Ini.

Mohd Osman

Dirujuk daripada portal Motorsports.com, Pelumba MotoGP, Jorge Martin, dilaporkan ingin meninggalkan pasukan Aprilia pada penghujung musim ini dengan mengaktifkan satu klausa khas dalam kontraknya. Klausa tersebut membenarkan Martin keluar dari pasukan sekiranya beliau tidak berada dalam senarai pencabar kejuaraan dunia selepas perlumbaan MotoGP Perancis.

Malangnya, siri kecederaan yang dialami Martin menyebabkan beliau terlepas lima daripada enam perlumbaan awal musim, dan belum mengutip sebarang mata setakat ini, sekaligus meletakkannya di tangga tercorot dalam kedudukan keseluruhan.

Menurut laporan, Martin telah menyampaikan hasratnya secara terus kepada pihak pengurusan Aprilia semasa di Le Mans minggu lalu. Keputusan itu nyata mengejutkan Aprilia, dan kini mereka sedang meneliti langkah undang-undang yang boleh diambil, kerana mereka berpendapat klausa tersebut tidak terpakai akibat ketiadaan Martin yang berpunca daripada kecederaan, bukannya prestasi.

Bagaimanapun, sebagai tanda hormat kepada Aprilia, Martin dilaporkan bersedia memberikan tempoh tambahan sehingga GP San Marino pada bulan September sebelum membuat keputusan muktamad mengenai masa depannya.

Dalam masa yang sama, Martin turut memerhati prestasi rakan sepasukannya serta pelumba Aprilia lain, dan mendapati bahawa jentera RS-GP masih belum mencapai tahap yang dijanjikan ketika beliau mula direkrut oleh pasukan itu.

Pasukan Honda dikatakan menjadi pilihan utama Martin sekiranya beliau meninggalkan Aprilia, namun mereka masih menunggu kepastian berkaitan status kontrak dan isu undang-undangnya sebelum membuat sebarang perjanjian rasmi.

Adakah Martin akan terus bersama Aprilia atau membuka lembaran baharu bersama Honda? Segalanya bakal terjawab menjelang penghujung musim ini.

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp

Search

Archives