
Juara dunia MotoGP 2024, Jorge Martin, kini bukan sahaja mencuri perhatian kerana prestasi di litar tetapi juga disebabkan drama luar trek yang kian hangat diperkatakan. Selepas sah menyertai Aprilia untuk musim 2025, Martin terpaksa berehat panjang akibat kecederaan serius dalam kemalangan pramusim dan di Qatar, menyebabkan 11 tulang patah dan kecederaan paru-paru, sekaligus menyaksikan dia terlepas enam pusingan pertama musim ini.
Lebih panas, tersebar spekulasi bahawa Martin mungkin mahu keluar awal daripada kontraknya, walaupun perjanjian bersama Aprilia hanya berakhir penghujung 2026. Desas-desus ini semakin kencang apabila diketahui adanya klausa khas dalam kontraknya, iaitu jika Aprilia gagal berada dalam kedudukan lima teratas selepas enam perlumbaan, jalan keluar terbuka buat Martin.
Namun, Aprilia cepat-cepat menepis gosip tersebut. Dalam kenyataan rasmi, mereka menegaskan bahawa tiada perbincangan tentang pembatalan kontrak dan memberi amaran kepada pasukan lain agar tidak cuba menghampiri pelumba mereka.
Menambah lagi rasa ingin tahu, Martin baru-baru ini memuat naik satu hantaran di Instagram yang cukup mencetus persoalan:
View this post on Instagram
“Saya akan ceritakan semuanya dari sudut saya… tunggu.”
Caption pendek itu terus mencuri perhatian peminat dan media. Adakah ini hint bahawa sesuatu sedang dirancang, atau sekadar mahu menamatkan spekulasi?
Menariknya, dalam perlumbaan BritishGP semalam, Marco Bezzecchi berjaya memberikan kemenangan sulung musim ini buat Aprilia, satu pencapaian yang mungkin akan mengubah tanggapan pasukan-pasukan lain terhadap keupayaan jentera Aprilia. Kemenangan ini mungkin juga menjadi isyarat penting kepada Martin, bahawa masa depannya bersama Aprilia masih penuh potensi jika diberi ruang dan masa.
Kini semua menanti, apakah pendedahan sebenar dari Jorge Martin? Dan adakah keputusan Aprilia di Silverstone cukup kuat untuk menyelamatkan perjanjian yang sedang bergolak ini?