Jack Miller : Masa Depan Di MotoGP Yang Semakin Suram, Gino Borsoi Buka Mulut

Toshi

Nasib pelumba Australia, Jack Miller, dalam saingan MotoGP 2026 masih belum pasti apabila kontrak semasa bersama pasukan Pramac hanya sah sehingga penghujung musim ini. Sejak meraih tempat kelima di Grand Prix Amerika Syarikat, Miller belum mengutip sebarang mata, mencetuskan spekulasi tentang masa depannya.

Baru-baru ini, Paolo Pavesio menyatakan keputusan mengenai Miller akan dibuat sebelum rehat musim panas, kenyataan yang dilihat sebagai satu bentuk tekanan terhadap pelumba tersebut. Namun begitu, Gino Borsoi selaku ketua pasukan Pramac lebih berhati-hati dalam memberikan kenyataan.

“Jack Miller berada dalam keadaan baik, dan Miguel Oliveira juga belum sempat menunjukkan potensi sebenarnya. Ia perlukan masa, seperti mawar yang menunggu masa untuk berkembang,” katanya kepada media.

Media Itali sebelum ini mengaitkan Enea Bastianini sebagai pengganti Miller, tetapi menurut Borsoi, sebarang keputusan adalah terlalu awal untuk dibuat. “Permulaan musim kami sebenarnya agak baik. Jack mempunyai beberapa perlumbaan yang menarik, walaupun terdapat isu di Jerez. Dia masih kompetitif dan mungkin akan kekal bersama kami tahun depan, seperti Miguel juga,” tambahnya lagi.

Jelas Borsoi, fokus utama mereka kini adalah membina projek jangka panjang bersama Yamaha. “Kami bantu Yamaha dengan penuh komitmen. Soal jangka pendek tidak perlu dibincangkan lagi. Kami tahu apa yang perlu dilakukan untuk meningkatkan prestasi M1.”

Dalam perkembangan terkini, portal Speedweek melaporkan bahawa Miller telah menerima tawaran daripada Honda untuk menyertai projek World Superbike mereka, satu langkah besar yang mungkin membuka lembaran baharu dalam kariernya jika tidak kekal di MotoGP.

Adakah Jack Miller akan terus kekal di kelas perdana atau berpindah ke WSBK bersama Honda? Hanya masa akan menentukan.

Teruskan bersama Two Wheels..!

📷 MotoGP

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp

Search

Archives