Hakim Danish Berkemungkinan Besar Tak Dapat Wild Card.

Wandi

Pelumba muda negara, Muhammad Hakim Danish Ramli, terus mencuri perhatian dalam arena perlumbaan motosikal antarabangsa. Selepas menjuarai Asia Talent Cup 2022 dan mencatat sejarah sebagai pelumba Malaysia pertama menaiki podium di European Talent Cup, Hakim kini bersaing dalam Red Bull MotoGP Rookies Cup 2025 dengan prestasi yang cemerlang. Beliau juga berada di landasan terbaik untuk menyertai Kejuaraan Dunia Moto3 musim depan menerusi kerjasama dengan pasukan MT Helmets.

Namun, impian untuk melihat Hakim beraksi sebagai pelumba wild card dalam kelas Moto3 sempena Malaysian Grand Prix 2025 hampir mustahil menjadi kenyataan. Punca utama ialah kekangan kewangan, di mana bayaran sekitar RM1 juta diperlukan untuk penyertaan wild card, termasuk kos pendaftaran, logistik dan penyelenggaraan jentera.

Sepang International Circuit (SIC), yang membimbing karier Hakim, telah berusaha mencari dana melalui kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk Kementerian Belia dan Sukan serta penaja swasta. Pihak kementerian telah melaksanakan peranan mereka sehabis baik, termasuk menyediakan dana sedia ada, namun jumlah tersebut masih tidak mencukupi untuk menampung keseluruhan kos penyertaan.

SIC sewajarnya tidak melepaskan peluang keemasan ini. Kehadiran Hakim sebagai pelumba wild card di Moto3 di Litar Sepang pasti menarik lebih ramai pengunjung dan mengangkat semula semangat sukan permotoran tanah air.

Sebagai penaja utama SIC, Petronas boleh memainkan peranan penting dalam merealisasikan penyertaan ini. Dengan sokongan tambahan daripada Petronas, peluang untuk melihat bintang muda ini beraksi di hadapan peminat tempatan masih belum tertutup sepenuhnya.

Walaupun peluang itu semakin tipis, harapan tetap ada. Dengan dorongan dan sokongan lebih menyeluruh daripada sektor awam dan swasta, impian ini masih boleh direalisasikan, sekaligus membuka lembaran baharu dalam sejarah permotoran Malaysia.

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
2.5k views

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Search

Archives