Hakim Danish Bangkit Luar Biasa di Le Mans: Dua Podium walau Diuji Cabaran Hebat!

MC

Le Mans, Perancis | 10 & 11 Mei 2025 — Aksi mendebarkan dan semangat juang luar biasa menjadi tema utama buat pelumba muda sensasi Malaysia, Hakim Danish, apabila beliau berjaya meraih dua podium berturut-turut dalam Perlumbaan 1 dan Perlumbaan 2 Kejuaraan Red Bull MotoGP Rookies Cup di Litar ikonik Le Mans, Perancis.

Walaupun diuji dengan cabaran teknikal dan insiden dramatik sepanjang hujung minggu perlumbaan, Danish membuktikan bahawa beliau bukan calang-calang pelumba – semangatnya, kecekalannya, dan konsistensinya mengangkat namanya sekali lagi di pentas antarabangsa.

Bermula dengan penuh keyakinan pada 10 Mei, Danish menunjukkan taringnya sejak sesi latihan lagi – memecut terpantas dalam Sesi Latihan Bebas 1, Sesi Latihan Bebas 2, dan juga sesi Kelayakan. Namun, insiden perlanggaran dengan pelumba Vietnam, Luca Agostinelli menyaksikan Danish dikenakan Long Lap Penalty, satu ujian besar di awal musim.

Sebaik perlumbaan bermula, Danish agresif memintas di Turn 1, namun ditekan di Turn 3 dan jatuh ke tempat keempat. Tidak lama kemudian, beliau tenang melaksanakan hukuman Long Lap dan kembali menyusun langkah.

Dengan aksi penuh berstrategi dan konsisten di setiap lap, Danish berjaya memimpin perlumbaan di pusingan ke-7 selepas memintas Brian Uriarte. Walau bagaimana pun, kesilapan kecil membuka ruang untuk Brian memintas semula.

Perlumbaan akhirnya dihentikan lebih awal pada pusingan ke-11 akibat insiden kemalangan, dan kedudukan diambil berdasarkan lap sebelumnya — mengekalkan Danish di tempat kedua, podium pertama hujung minggu!

Perlumbaan kedua pada 11 Mei bermula dengan penuh cabaran — hujan pagi menjadikan permukaan litar sangat licin. Danish bermula dengan baik, namun malang menimpa di Selekoh 3 3 apabila beliau terjatuh dan terlibat dalam perlanggaran dengan Brian Uriarte.

Ramai menyangka perlumbaannya sudah tamat. Namun, Danish membuktikan mentalitinya sebagai pejuang sejati. Beliau bangkit semula dari kedudukan ke-22, dan dari situ bermulalah kisah kebangkitan paling dramatik musim ini!

Satu demi satu pelumba dipintas, walaupun beberapa kali hampir terjatuh akibat keadaan litar yang mencabar. Menjelang lap ke-5, Danish sudah pun berada di tempat ke-5 dan terus memacu laju. Pada lap ke-12, selepas Carter Thompson terjatuh, Danish naik ke tempat kedua — dan mengekalkan kedudukan hingga ke garisan penamat!

Dua tempat kedua di Le Mans bukan sekadar kejayaan peribadi buat Hakim Danish, tetapi juga bukti bahawa pelumba muda ini semakin bersedia mencabar nama-nama besar dunia dalam sukan permotoran. Dengan aksi penuh berani, ketenangan luar biasa, dan kebangkitan yang menginspirasikan, Danish terus mencuri perhatian dunia.

Perlumbaan seterusnya bakal berlangsung di Litar Aragon, Sepanyol pada 7 & 8 Jun 2025. Adakah Danish bakal meneruskan momentum cemerlangnya?
Teruskan Bersama Two Wheels..!

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
1.9k views

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Search

Archives