
Fabio Quartararo mencuri tumpuan di Grand Prix Sepanyol 2025 apabila merangkul posisi petak utama dan podium bersejarah untuk Yamaha, satu pencapaian yang amat bermakna buat pasukan dari Iwata yang bergelut sejak kejuaraan terakhir mereka pada 2021.
Kejayaan ini tidak datang secara kebetulan. Kehadiran Max Bartolini, bekas pakar strategi Ducati, sebagai Pengarah Teknikal Yamaha mula menunjukkan hasil. Dengan pengalaman luasnya, Bartolini membawa pendekatan teknikal baharu ke dalam pasukan, termasuk rahsia kejayaan Ducati yang kini mula menular ke Yamaha dan berpotensi turut mempengaruhi Aprilia.
Michael Laverty dari TNT Sports menyatakan, “Rahsia Ducati telah mula mengalir ke Yamaha. Ini permulaannya.” Bartolini turut dilihat berinteraksi mesra dengan Fabiano Sterlacchini dari Aprilia dan kedua-duanya merupakan bekas tokoh penting di Ducati, membuktikan pengaruh teknikal dari Bologna semakin meluas di paddock MotoGP.
Menurut Quartararo, Yamaha telah menguji enjin baharu selepas Jerez yang lebih berkuasa berbanding enjin yang digunakan ketika podium. “Ada peningkatan ketara. Belum cukup, tapi kami sedang mara ke depan,” katanya.
Di Jerez, Quartararo berjaya menyaingi Marc Marquez dan Pecco Bagnaia yang menunggang jentera lebih canggih. Neil Hodgson memuji prestasinya: “Fabio menunggang pada tahap maksimum. Jurang ke pelumba Yamaha seterusnya ialah 19.5 saat!”
Yamaha masih belum menang, namun Quartararo membuktikan dia kekal sebagai aset penting dalam usaha kebangkitan jenama lagenda ini.
📷 Autosports