
Fabio Quartararo, pelumba pasukan Yamaha, telah dikenakan penggantungan selama 10 minit daripada sesi latihan pertama Grand Prix seterusnya iaitu di Britain serta denda sebanyak €2,000 (kira-kira RM9,6k) susulan insiden di GP Perancis.
Dalam perlumbaan tersebut, Quartararo terjatuh di selekoh terakhir (Turn 14) dan cuba menolak motosikalnya untuk kembali ke perlumbaan. Namun, jentera beliau gagal dihidupkan semula dan kedudukannya di kawasan berbahaya iaitu laluan keluar selekoh terakhir yang mengundang risiko besar kepada keselamatan diri dan pelumba lain.
Walaupun telah diarahkan oleh petugas untuk meninggalkan jentera dan beredar dari kawasan tersebut, beliau tetap berusaha menolak motosikalnya, menyebabkan beliau didapati melanggar arahan keselamatan.
Quartararo bagaimanapun tetap bersemangat selepas perlumbaan, menyatakan beliau berpuas hati dengan prestasinya sepanjang hujung minggu, bermula dari petak utama dan mendahului perlumbaan sebelum terjatuh. Beliau mengakui cuaca yang tidak menentu menyukarkan keadaan, namun beliau memilih untuk mengambil risiko dengan menekan lebih awal menggunakan tayar slick.
Beliau turut memuji sokongan luar biasa peminat Perancis di Le Mans dan mengucapkan tahniah kepada Johann Zarco atas kemenangan bersejarahnya di tanah air.