
Dunia permotoran Malaysia kini menyaksikan kemunculan dua pelumba muda luar biasa iaitu Raja Abdurraqib Bin Raja Mohd Norfatifah (lahir 2011) dan Muhammad Aqil Ramadhan Bin Idris (lahir 2012). Kedua-duanya merupakan produk latihan Edderz Racing dan mula mencuri perhatian sejak menyertai kategori MINI CUBPRIX JUNIOR (Daijiro Bike) musim 2024, kejohanan anjuran TWMR yang menjadi medan penting pembangunan bakat baharu.
Dalam musim penuh pertama mereka, Aqib muncul juara keseluruhan dengan prestasi konsisten dan dominan, manakala Aqil menamatkan saingan sebagai naib juara. Walaupun pesaing di atas litar, mereka sebenarnya berlatih bersama sebagai rakan ‘sparring’, saling mencabar dan membina kemahiran masing-masing. Kejayaan ini menjadi titik tolak kepada kemaraan mereka ke pentas lebih tinggi dalam perlumbaan One Make Race (OMR) 2025 dimana Aqib mewakili Yamaha dalam Petronas Super Series, manakala Aqil dipilih menyertai Honda RSX Challenge.
Musim 2025 menyaksikan kesinambungan dominasi mereka. Di Pusingan 1 yang berlangsung di Litar PSIC (North Track), kedua-duanya memulakan kempen dengan penuh bergaya apabila menjuarai perlumbaan sulung mereka dalam kancah Cubprix. Kemenangan ini bukan sekadar kejayaan di atas kertas, malah memperlihatkan keupayaan luar biasa mereka dalam mengawal perlumbaan serta membuat keputusan yang tepat dan matang di bawah tekanan.
Di Pusingan 2 di Litar Tangkak, mereka sekali lagi membuktikan kehebatan masing-masing. Dengan catatan masa terpantas dan kemenangan bergaya, termasuk margin lebih 5 hingga 10 saat, prestasi tersebut seterusnya meletakkan nama mereka sebagai antara pelumba paling menjanjikan di peringkat junior negara.
Gabungan bakat semula jadi, disiplin latihan, dan bimbingan teknikal dari Edderz Racing menjadikan Raja Abdurraqib dan Muhammad Aqil Ramadhan dua aset penting masa depan sukan permotoran Malaysia. Jika diberi sokongan yang tepat, kedua-duanya berpotensi besar untuk mewakili negara di peringkat antarabangsa dan membawa nama Malaysia ke podium dunia.
Teruskan bersama Two Wheels..!