Debut Viper Niza Racing Di 12 Hours of Misano, Itali– Satu Cabaran Baru untuk Pasukan Malaysia

MC

Litar Misano di Itali bakal menjadi medan pertempuran baharu bagi pasukan Viper Niza Racing apabila mereka membuat penampilan sulung dalam perlumbaan 12 Jam Misano pada 23 hingga 24 Mei 2025 – di atas litar yang tidak pernah mereka jejaki sebelum ini.

Litar Misano World Circuit Marco Simoncelli lebih dikenali dalam kalangan peminat MotoGP sebagai tuan rumah Grand Prix San Marino, namun ia kini mencabar dunia perlumbaan ketahanan kereta pula dengan edisi kedua perlumbaan 12 Jam Misano.

“Kami belum pernah berlumba di Misano, jadi ini satu pengalaman baharu sepenuhnya untuk pasukan. Ia kelihatan rata dengan perubahan ketinggian yang sangat kecil – lebih sesuai untuk jentera dua roda. Trek ini agak sempit, jadi peluang untuk memotong akan jadi sangat terhad,” jelas Ketua Pasukan dan pemandu utama Viper Niza Racing, Douglas Khoo.

“Jadi, kami semua banyak meluangkan masa dalam simulator untuk memahami titik membrek dan pendekatan terbaik di setiap selekoh. Ada juga selekoh berkelajuan tinggi yang boleh diambil secara rata tanpa membrek. Kami turut menonton video on-board sebelum ini untuk belajar bagaimana pelumba lain mengendalikan trek ini.”

Khoo akan bergandingan dengan Dominic Ang dan Melvin Moh, bersama kru teknikal sepenuhnya dari Malaysia. Walaupun berdepan dengan perasaan bercampur antara keterujaan dan ketidaktentuan, Viper Niza Racing hadir ke Itali dengan prestasi memberangsangkan setakat ini: tempat ke-6 keseluruhan, ke-4 dalam kelas GT3 dan naib juara dalam kelas GT3 AM di Michelin 12 Jam Spa Francorchamps di Belgium; serta kemenangan dalam kelas GT AM Masters dan tempat ke-2 dalam kelas GT AM di Motul 12 Jam Sepang.

Khoo turut berkongsi bahawa mereka akan menggunakan jentera yang sama – Mercedes-AMG GT3 EVO – tanpa sebarang naik taraf baharu. “Kami hanya tukar beberapa komponen yang mengalami kehausan biasa. Pelarasan set-up akan ditentukan selepas sesi latihan bebas dan melihat prestasi sebenar di litar.”

Litar Misano sepanjang 4.226km ini mempunyai 16 selekoh dan berpusing mengikut arah jam. Dibina sejak tahun 1969, ia telah melalui beberapa pengubahsuaian dan kini menawarkan gabungan laluan lurus pantas, selekoh teknikal dan juga selekoh berkelajuan tinggi – benar-benar menguji keupayaan kereta dan pemandu.

Rekod terpantas di litar ini dipegang oleh jentera Porsche Formula E dengan masa 1:18.582 minit. Untuk kereta lumba tradisional, masa terpantas ialah 1:48.50 minit oleh Porsche GT4RS dan 1:30.03 minit oleh Ducati MotoGP.

Tahun lalu (2024), Misano menyertai kalendar rasmi perlumbaan ketahanan dunia dan Audi muncul juara keseluruhan serta mendominasi kelas GT3 dan GT3 AM dengan jentera Audi R8 LMS GT3 EVO II mereka.

Viper Niza Racing mendapat sokongan daripada penaja utama Motul serta jenama seperti Endless, Momentum Autoparts, IWC sebagai Jam Tangan Rasmi, dan Jen Orchard Gateway Hotel dari Singapura.

Semoga kejayaan terus mengiringi wira-wira negara ini di bumi Itali!

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
1.3k views

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Search

Archives