
Davide Brivio sekali lagi membuktikan kehebatannya dalam mengenal pasti bakat apabila mengumumkan Ai Ogura sebagai pelumba utama TrackHouse Racing untuk musim 2025-2026. Keputusan mengejut ini hadir ketika ramai menjangkakan Joe Roberts akan mengisi tempat tersebut, tetapi Brivio memilih Ogura, satu langkah berani yang kini mula membuahkan hasil.
Sejak perlumbaan pembukaan di Thailand, Ogura telah mencuri tumpuan dengan menamatkan saingan di tempat kelima, sekaligus menjadi pelumba Aprilia terbaik. Dalam lima perlumbaan pertama, pelumba muda Jepun ini berjaya meraih empat kedudukan dalam kelompok 10 terbaik dan kini menduduki tangga kelapan keseluruhan, malah mengatasi pelumba utama Aprilia, Marco Bezzecchi.
Brivio, yang terkenal dengan kejayaannya bersama Rossi dan Lorenzo di Yamaha serta kejayaan Suzuki kembali ke pentas kemenangan MotoGP, memuji pendekatan Ogura yang tenang, fokus, dan cepat menyesuaikan diri. “Kami percaya dia mampu berjaya, tetapi dia masih berjaya mengejutkan kami,” katanya kepada Motorsport Total.
Namun, kejayaan Ogura turut membawa kesan terhadap rakan sepasukan, Raul Fernandez, yang masih belum menyerlah musim ini. Hanya meraih tempat ke-12 di Austin sebagai keputusan terbaik, masa depan Fernandez kini dalam tanda tanya walaupun kontraknya masih berjalan hingga akhir 2026.
Dengan kontrak Ogura juga sehingga 2026, desas-desus mula kedengaran bahawa pasukan pengeluar mungkin akan cuba mendapatkannya untuk musim 2027. TrackHouse, walaupun sebuah pasukan satelit, kini sedang mencuri perhatian kerana keberanian Brivio memperjudikan bakat luar jangka dan ia terbukti menjadi taruhan yang sangat berbaloi.
Teruskan bersama Two Wheels..!
📷 Trackhouse