AMI Suzuki Motorsport : Langkah Berani Menjulang Nama Tempatan Di Pentas Asia

Toshi

AMI Suzuki Motorsport merupakan pasukan baharu yang tampil dengan keyakinan tinggi dalam dunia perlumbaan dua roda. Ditubuhkan pada tahun 2025 oleh AFY Mobility Industries (AMI), pasukan ini melakar kemunculan pertama mereka dalam kejohanan Malaysia Speed Festival (MSF), sebelum melangkah ke pentas lebih kompetitif menerusi kategori MSBK1000 dalam saingan Malaysia Superbike Championship (MSBK).

Berpaksikan komitmen membangunkan sukan permotoran tempatan, pasukan ini dikendalikan sepenuhnya oleh tenaga kerja tempatan menerusi kerjasama strategik antara Suzuki Malaysia dan ZK Racing. Kepimpinan pasukan diterajui oleh Ahmad Faez Yahaya (AFY) sebagai Prinsipal Pasukan, manakala bekas pelumba Moto3 negara, Zulfahmi Khairudin (ZK), memikul tanggungjawab sebagai Pengurus Pasukan. Bagi memperkukuh cabaran di litar, pelumba berpengalaman Adam Norrodin dipertaruhkan sebagai tonggak utama.

Lebih membanggakan, AMI Suzuki Motorsport turut menerima sokongan teknikal dan strategik daripada dua nama besar dalam industri iaitu Suzuki dan Yoshimura, yang memperkukuhkan lagi aspirasi mereka untuk bersaing di peringkat tertinggi. Hasil usaha ini, pasukan telah diberi peluang beraksi sebagai wildcard dalam pusingan kedua Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) kategori ASB1000 di Litar Antarabangsa Sepang penghujung bulan ini.

Langkah berani ini bukan sahaja memperkukuh jenama AMI dalam dunia automotif, malah membuktikan bahawa pasukan tempatan mampu bersaing setanding nama besar Asia. AMI Suzuki Motorsport kini bersedia mencabar prestasi dan mencipta sejarah baharu dalam perlumbaan dua roda rantau ini.

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
1.3k views

Search

Archives