
Gresini Racing sudah lama bersaing di pentas MotoGP dan dedikasi serta cinta mereka terhadap sukan permotoran ini membuatkan mereka kekal utuh di persada dunia.
Tahun ini dengan prestasi Alex Marquez yang amat cemerlang, Gresini dilihat berpeluang cerah untuk merangkul gelaran juara dunia yang diidam-idamkan oleh semua pihak yang bertanding. Ia bukan satu hal yang mudah memandangkan mereka ialah bukan ‘factory’ malah bukan juga ‘2nd satellite’.
Pada masa sama, mereka juga memiliki pendatang baru atau rookie iaitu Fermin Aldeguer yang tidak kurang hebatnya. Beliau kini sudah mula mampu berada di kelompok 15 terbaik malah sering juga berada di kumpulan 10 teratas. Usaha dan kerja kerasnya nampak semakin berhasil lalu meyakinkan ramai pihak bahawa keputusan Ducati untuk merekrutnya adalah pilihan yang tepat.
Pun begitu menjadi lumrah pihak pasukan akan terlebih tumpuan kepada yang lebih menyerlah dan itu sebenarnya satu keadilan kerana misi kedua pelumba adalah berbeza di mana Alex yang sudah senior di MotoGP sedang bersaing merebut gelaran manakala Fermin pula masih dalam proses belajar dan memahami dunia MotoGP. Oleh sebab itu tidak timbul isu pilih kasih atau anak emas kerana Gresini akan berbuat sehabis baik demi kedua-dua pelumba mereka.