
Pusingan pertama Aeon Credit MAM Malaysia Superbike Championship akan berlangsung hujung minggu ini di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang. Perlumbaan YAMAHA Y16ZR Race Masterclass kembali lagi musim ini dengan penyertaan seramai 29 pelumba.
Musim lalu, Md Adib Arsyad mendominasi dengan tiga kemenangan dan dua podium sebelum merangkul gelaran juara dengan 117 mata. Namun musim ini, Adib telah berpindah ke kategori YAMAHA R15M Race Elites, membuka peluang besar kepada naib juara musim lalu, Ahmad Iqram Danish, untuk memimpin saingan.
“Tanpa Adib, seorang pencabar kuat telah tiada – ini boleh jadi baik atau sebaliknya. Tapi saya rasa persaingan tetap sengit. Litar besar ini beri peluang sama rata kepada semua. Mesin Y16ZR sangat sesuai dengan gaya tunggangan saya. Ia bukan terlalu laju, bukan terlalu perlahan – sangat sesuai untuk pelumba muda belajar dan kuasai garisan perlumbaan,” kata Iqram.
“Saya jangka Akid dan Jebat akan jadi pesaing utama kerana strategi mereka sangat baik dan mereka juga berani. Sasaran saya? Mahu jadi juara musim ini.”

Walaupun jumlah pelumba berkurang sembilan orang berbanding musim lalu, perlumbaan kategori Y16ZR 155cc tetap menjanjikan aksi menarik. Penggunaan teknik slipstream di litar besar ini akan jadi penentu — dan itulah yang menjadikan kategori ini unik.
Jebat Zulkarnain, yang mendapat tempat ketiga musim lalu dan kini juga bertanding dalam R15M Race Elites, berkata:
“Musim ini lebih mencabar dengan kemasukan ramai pelumba berpengalaman. Tapi saya tumpukan kepada latihan fizikal dan keyakinan diri. Saya mahu podium setiap perlumbaan — atau lebih baik, jadi juara keseluruhan.”
Sementara itu, Raiyan Khardanee turut menyasarkan kedudukan teratas:
“Ramai pelumba hebat tahun ini, jadi strategi sangat penting. Mesin semua dalam keadaan terbaik. Saya banyak buat latihan kelajuan dan ketahanan. Harap strategi kami menjadi dan saya berjaya ke puncak.”
Nak tahu siapa bakal juara? Jumpa hujung minggu ini di Sepang!
Adakah anda akan turun ke litar untuk saksikan sendiri aksi mereka?
Masuk Percuma ke Main Grandstand!