
Jerez, Sepanyol – Pusingan pembuka tirai Red Bull MotoGP Rookies Cup 2025 bakal berlangsung di Circuito de Jerez, Sepanyol, minggu ini iaitu pusingan pertama.
Antara tumpuan utama musim ini iaitu bintang muda negara, Hakim Danish daripada SIC Racing, kembali beraksi untuk musim ketiganya. Ini bukan sekadar satu lagi musim, ia adalah peluang terakhirnya untuk membuktikan kemampuan sebelum melangkah ke kelas dunia Moto3. Berdasarkan peraturan dan struktur laluan ke Kejuaraan Dunia, tahun ketiga merupakan had maksimum bagi pelumba kekal dalam Rookies Cup.
Musim lalu, Danish membuktikan dirinya sebagai pesaing elit, mencatat 1 kemenangan, 3 podium dan menamatkan musim di tempat ke-6 keseluruhan. Malah, di pusingan pertama 2024 di Jerez, beliau berjaya naik ke podium Race 2 di tempat kedua. Prestasi itu memberi bayangan jelas akan potensinya untuk bersaing di peringkat tertinggi.
SIC Racing kini meletakkan sasaran yang jelas, menamatkan musim 2025 dalam kelompok 3 terbaik keseluruhan, sebagai tiket ke Moto3 World Championship. Persediaan intensif telah dirangka, dipimpin oleh legenda Moto3 negara, Zulfahmi Khairuddin. Dari aspek fizikal, mental sehinggalah ke pelan pemakanan, semuanya disusun bagi memastikan Hakim Danish mencapai prestasi maksimum.
Ini bukan sekadar musim biasa, ini adalah musim penentu. Pentas terakhir, dan masa untuk membuktikan segalanya sudah tiba.