
Jenama motosikal dari China, Kove, secara rasmi melangkah masuk ke kancah perlumbaan British Superbike Championship (BSB) apabila pasukan Kove Factory Racing membuat penampilan sulung mereka pada sesi ujian pra-musim di Litar Donington Park, Jumaat lalu.
Pasukan ini akan bertanding dalam kategori National Sportbike Championship bagi musim 2025 dengan pelumba muda berbakat, Casey O’Gorman sebagai taruhan utama. Kehadiran Kove di UK semakin menyerlah apabila mereka turut melancarkan Kove Moto UK, lengkap dengan rangkaian pengedar rasmi di seluruh negara.
Bukan asing dalam dunia perlumbaan, Kove sebelum ini telah menghantar James Hillier menyertai rali paling mencabar dunia – Dakar Rally. Malah, mereka turut merancang projek perlumbaan Isle of Man TT dalam masa terdekat. Menariknya, Kove turut mengumumkan penubuhan The Kove Academy yang dijangka dibuka pada tahun 2026.
Akademi ini dikendalikan oleh Paul Curran dan menurut kenyataan rasmi BSB, ia bakal menjadi pusat latihan intensif bagi mencungkil dan membangunkan bakat baharu dalam sukan permotoran. Inisiatif ini dilihat sebagai komitmen jangka panjang Kove dalam memperkukuh pengaruh mereka dalam dunia perlumbaan.
Alan Gardner, pengasas bersama Kove Moto UK berkata, “Kami teruja membawa jenama Kove ke UK. Daripada pencapaian di Dakar sehinggalah ke projek TT dan Kove Academy, kami komited untuk mengangkat prestasi dan membentuk generasi pelumba masa depan.”
Langkah berani Kove ini membuktikan bahawa mereka bukan sekadar pengeluar motosikal biasa, tetapi pemain baharu yang serius dalam dunia perlumbaan kompetitif.
Teruskan bersama Two Wheels..!
📷 BSB