
Pelumba MotoGP, Luca Marini, mencuri perhatian semasa sesi ujian di Jerez semalam apabila dilihat memakai prototaip helmet AGV baharu yang dilengkapi dengan rekaan aerodinamik menarik di bahagian pipi dan rahang. Ciri yang menyerupai “winglet mini” itu menimbulkan persoalan dalam kalangan pemerhati, adakah ini langkah baharu dalam evolusi perlumbaan MotoGP?
Rekaan aerodinamik seperti ini bukan sesuatu yang asing dalam dunia MotoGP. Sejak winglet mula diperkenalkan pada jentera, perubahan kecil dari segi aliran udara terbukti memberi kesan besar terhadap kestabilan motosikal pada kelajuan tinggi. Kini, teknologi yang sama tampaknya mula diaplikasikan pada peralatan perlumbaan termasuk helmet.
Kehadiran ‘aero chin’ pada helmet AGV yang diuji Marini berpotensi membantu mengurangkan daya seretan (drag) dan meningkatkan kestabilan kepala ketika menunduk dalam laluan lurus. Ia juga boleh mengurangkan getaran yang memberi kesan ke atas fokus dan kejelasan penglihatan pelumba, terutamanya dalam perlumbaan sengit.
Walaupun belum ada kenyataan rasmi daripada AGV, langkah ini menunjukkan betapa pentingnya setiap perincian dalam usaha mencipta kelebihan dalam MotoGP yang semakin kompetitif. Jika teknologi ini terbukti berkesan, tidak mustahil kita akan melihat lebih banyak helmet dengan ciri aerodinamik dipakai oleh pelumba lain dalam masa terdekat.